KENANGAN bersama pemandu pelancong antara mangsa  tragedi tsunami yang  kehilangan sembilan ahli keluarga termasuk ibu kandung.
KENANGAN bersama pemandu pelancong antara mangsa tragedi tsunami yang kehilangan sembilan ahli keluarga termasuk ibu kandung.
MASJID Baiturrahman masih tegap meskipun dilanda tsunami
MASJID Baiturrahman masih tegap meskipun dilanda tsunami
KUBUR besar mangsa tsunami.
KUBUR besar mangsa tsunami.
PERKUBURAN Masal menempatkan lebih 40 ,000 jemaah dalam satu liang.
PERKUBURAN Masal menempatkan lebih 40 ,000 jemaah dalam satu liang.
Oleh Alia Kamaruddin

Sebaik menjejakkan kaki di Aceh, terbit rasa syahdu bersama perasaan 'seriau' menyelubungi hati. Maklumlah, terbayang-bayang kembali peristiwa melanda negeri yang diberi jolokan 'Serambi Makkah' itu sedekad lalu iaitu bencana tsunami melanda Banda Aceh dengan setiap tinggalan pada bangunan, bot terdampar mahupun jalanan cukup melekat di jiwa penulis ketika itu.

Kunjungan kali ini bertujuan mengikuti rombongan ayah bersama rakan Alumni Sekolah Sultan Abdul Rahman boleh dikatakan perjalanan penuh hikmah dan menginsafkan.

Lokasi pertama kami mengunjungi monumen tsunami, Kuburan Massal di Siron. Pemandu pelancong yang juga mangsa bencana itu tenang menceritakan latar belakang lokasi itu.

Dia berkata, istilah 'kuburan massal' itu sendiri bermaksud tertanamnya lebih daripada seorang dalam liang lahad.

Lokasi itu adalah liang lahad terbesar di kepulauan berkenaan yang menempatkan seramai 46,718 daripada 200,000 mangsa yang dilaporkan terkorban dalam tragedi itu.

Di Banda Aceh, kami menginap di Hotel Medan. Hotel ini antara bangunan yang turut terkena tempias tragedi tsunami. Buktinya, sampai kini sebuah bot masih terdampar di depan hotel kesan peristiwa itu.

Selesai urusan di hotel, kami dibawa melihat satu lagi monumen popular kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah, Masjid Raya Baiturrahman. Masjid ini mendapat pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi dalam proses pemuliharaannya.

Di sini satu cerita menarik sempat dikongsi pemandu pelancong kami. Menurutnya sewaktu kejadian tsunami, orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri daripad ditelan ombak besar, termasuk seorang berbangsa Cina.

Dia sempat menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung Masjid Baiturrahman. Kekuasaan Allah yang dilihat sewaktu itu ialah air laut seakan-akan terbelah ketika melalui masjid ini membuatkan dia nekad memeluk agama Islam selepas kejadian itu.

Malah, kesempatan mendirikan solat Maghrib di masjid ini turut memberi pengalaman bermakna buat penulis. Jelas sebaik azan Maghrib dilaungkan, pelbagai lapisan umur masyarakat setempat berpusu-pusu memenuhi saf untuk mendirikan solat jemaah.

Pemahaman kami tidak terhenti di situ kerana keesokannya kami dibawa melawat Muzium Tsunami Acheh. Ia dibina bagi memperingati hari di mana seluruh dunia dirundung kedukaan, terutama di Banda Aceh.

Pelbagai info bergambar, monumen penting, miniatur situasi sewaktu tsunami terjadi serta tayangan video mengenai tsunami dipaparkan. Pelawat akan merasai pengalaman 'mendebarkan' di dalam sebuah terowong khas yang dibina pihak muzium bersama kesan bunyi rempuhan tatkala glombang tsunami setinggi 30 kaki menghampiri.

Malangnya, penulis tidak dapat merasai pengalaman berkenaan kerana masalah teknikal yang dihadapi. Bahagian paling tidak boleh dilupakan ialah memasuki satu ruang sedikit gelap dengan hanya dinding bercahaya disertai alunan ayat suci al-Quran di mana ribuan nama mangsa tsunami terpapar di dinding bilik itu.

Kami sempat berkunjung ke kapal PLTD Apung 1 yang difahamkan dibawa arus kuat tsunami hampir lima kilometer ke tengah perkampungan Punge Blang Cut, Banda Aceh. Penulis tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan saksi bisu kejadian tsunami ini.

Dalam lawatan ini, kunjungan ke kapal terdampar di atas rumah di Lampulo paling meninggalkan kesan. Difahamkan, kapal ini terdampar sejauh satu kilometer dari kawasan pantai dan seramai 59 orang terselamat di atas kapal ini.

Ketika melawat kapal ini, ada bau hanyir yang kurang menyenangkan. Bau itu menjadi perdebatan antara penulis dengan ibu sendiri sama ada bau hanyir ikan atau darah yang sungguh meloyakan ketika itu. Sedangkan jarak dengan pantai jauh, malah tidak terlihat pula lokasi pasar berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:08 AM