KELIHATAN dua wanita mencari pakaian terpakai di kem sementera. FOTO/REUTERS
KELIHATAN dua wanita mencari pakaian terpakai di kem sementera. FOTO/REUTERS
Agensi

PALU: Angka terbaharu korban akibat gempa bumi dan tsunami di sini dan Donggala terletak di Sulawesi Tengah berjumlah 2,002 orang setakat pagi tadi.

Menurut Pusat Arahan Tugas Bersepadu (Kogasgabpad), sebahagian besar mayat mangsa dikebumikan secara besar-besaran sementara bakinya oleh keluarga masing-masing.

Mangsa maut yang dikebumikan dalam kubur besar di Poboya berjumlah 864 jenazah, Pantoloan (35) manakala di Donggala juga 35, sementara yang dikebumikan keluarga masing-masing berjumlah 1,068.

Pada masa sama, jumlah mangsa cedera mencecah 4,084 orang manakala yang hilang seramai 671 orang.

Sehingga Jumaat lalu, 67,310 kediaman rosak termasuk 65,733 di sini, Sigi (897) dan Donggala (680). Mangsa yang hilang tempat tinggal berjumlah 74,000 orang.

Panglima Kogasgabpad, Mejar Jeneral Suwandono menyeru penduduk yang meninggalkan bandar ini dan daerah sekitar supaya kembali.

“Keadaan ekonomi sudah berjalan seperti biasa, bank sudah dibuka, hospital sudah beroperasi, bekalan elektrik dipulihkan, begitu juga sekolah, air bersih dan sebagainya,” katanya dilaporkan laman berita Antara semalam.

Beliau mengajak penduduk di sini, Donggala dan Sigi kembali supaya wilayah itu bangkit semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:22 PM