PELARIAN Rohingya menunggu untuk menjalani ujian darah di pusat perlindungan sementara di Ladong, wilayah Aceh, Indonesia. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya menunggu untuk menjalani ujian darah di pusat perlindungan sementara di Ladong, wilayah Aceh, Indonesia. FOTO AFP
AFP

Naypyidaw: Pihak berkuasa Myanmar menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun kepada 112 warga Rohingya, termasuk puluhan kanak-kanak kerana cuba menyeludup masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah, lapor media kerajaan pada Selasa.

Kumpulan itu ditangkap bulan lalu di wilayah selatan Ayeyarwady dan dijatuhkan hukuman pada 6 Januari, menurut laporan Global New Light of Myanmar, yang memetik polis tempatan.

Kanak-kanak itu dipindahkan ke sekolah latihan belia berhampiran hab komersial Yangon pada 8 Januari, lapor akhbar itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Laporan itu merujuk kumpulan itu sebagai Benggali menggunakan perkataan merendahkan untuk minoriti Islam, yang dinafikan kewarganegaraan di Myanmar majoriti Buddha, dan sering memerlukan kebenaran untuk melakukan perjalanan.

Tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017 menyebabkan ratusan ribu warga Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh, dengan kisah mengerikan antaranya pembunuhan, rogol dan pembakaran.

Myanmar menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan penghijrahan beramai-ramai itu.

Ribuan rakyat Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melakukan perjalanan berbahaya dari kem di Bangladesh dan Myanmar untuk sampai ke Malaysia dan Indonesia yang majoriti penduduknya adalah Muslim.

Ahad lalu, sebuah bot kayu yang membawa hampir 200 pelarian Rohingya, majoriti daripada mereka wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai barat Indonesia.

Menurut pihak berkuasa, ia adalah kumpulan kelima yang tiba di situ, sejak November.

Lebih 2,000 warga Rohingya dipercayai mencuba perjalanan berisiko tahun lalu, menurut agensi pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 12:54 PM