Penduduk melihat trak melanggar bas di Karachi. FOTO AFP
Penduduk melihat trak melanggar bas di Karachi. FOTO AFP
AFP

KARACHI: Sekurang-kurangnya 16 orang maut di selatan Pakistan, hari ini, selepas sebuah trak merempuh bas yang diletakkan di tepi lebuh raya dalam kemalangan terbaharu di jalan raya berbahaya di negara itu.

Trak untuk perjalanan jarak jauh itu merempuh bas terbabit dari belakang, ketika ia diletakkan di tepi lebuh raya kerana tayar pancit di bandar Hyderabad, selatan Pakistan.

Ketika insiden, sejumlah penumpang berada di tepi jalan kerana pemandu meminta bantuan mereka untuk menukar tayar, sementara baki penumpang lain menunggu dalam bas.

“Penumpang wanita dan kanak-kanak di dalam bas paling ramai terjejas akibat nahas ini. Punca kemalangan adalah kelalaian pemandu lori,” kata pegawai polis tempatan, Zahid Ali Shah.

Katanya, lapan mangsa lain turut cedera dan pemandu trak terbabit sudah melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:54 PM