KEADAAN bas. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
KEADAAN bas. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
Rizanizam Abdul Hamid


“SAYA terpaksa pusing stereng bas ke sebelah kiri untuk mengelak daripada merempuh sebuah kereta yang secara tiba-tiba menukar laluan.

“Jika saya lambat bertindak, mungkin sudah ada nyawa yang terkorban,” kata pemandu bas ekspres, S Kesavan, 32, yang terselamat bersama 15 penumpang dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dekat Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat itu, semua mangsa selamat kecuali seorang penumpang luka di kaki akibat terkena serpihan kaca

Kesavan mendakwa, bas dua tingkat membawa 15 penumpang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Singapura.

“Ketika kejadian, saya memandu di laluan paling kiri sebelum tiba-tiba sebuah Proton Persona putih dari lorong tengah menukar laluan di hadapan saya, secara tiba-tiba.

“Ketika cuba mengelak daripada terlanggar kereta berkenaan, saya secara spontan memusing stereng ke kiri memasuki laluan kecemasan.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya merempuh sebuah pacuan empat roda yang berhenti di belakang sebuah kren menyebabkan saya merempuh kedua-duanya,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kemalangan, hari ini.

Tambahnya, nahas itu menyebabkan sebahagian depan kiri bas berkenaan hancur, namun bersyukur kerana dia dan semua penumpang terselamat sebelum meneruskan perjalanan menaiki bas lain ke Singapura.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati kren Demag jenis Tadano itu berhenti di lorong kecemasan kerana tayar bocor.

“Sebuah Ford Ranger berhenti untuk membantu dan meletakkan kon sementara menunggu bantuan pihak lebuh raya.

“Kira-kira 10 minit kemudian, sebuah bas tiba-tiba merempuh bahagian sebelah kanan belakang Ford Ranger dan turut merempuh kren berkenaan.

“Pemandu bas mendakwa sebelum kejadian dia cuba mengelak sebuah kereta yang mengubah laluan,” katanya sambil menambah semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Seramai 14 penumpang bas dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan, manakala hanya satu penumpang di bawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan luka di kaki kanan akibat kaki terkena serpihan kaca.

“Penumpang berusia 31 tahun itu sudah dibenarkan keluar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:48 PM