KENYATAAN disiarkan Daish mengenai kematian Hudhayfah al-Badri. - Agensi
KENYATAAN disiarkan Daish mengenai kematian Hudhayfah al-Badri. - Agensi
AFP

Beirut: Anak pemimpin tertinggi kumpulan militan Negara Islam atau Daish Abu Bakr al-Baghdadi, dilaporkan terbunuh ketika menyertai serangan terhadap stesen janakuasa di wilayah tengah Syria di Homs.

Dalam kenyataan oleh Amaq iaitu agensi propagandanya, Hudhayfah al-Badri terbunuh dalam operasi menentang Nussayriyyah dan Russia di stesen jana kuasa di Homs.

Ia turut menyiarkan gambar seorang lelaki muda memegang senapang.

Nussayriyyah ialah gelaran digunakan Daish untuk mazhab minoriti Alawit Presiden Bashar al-Assad.

Hudhayfah ialah seorang daripada lima anak al-Baghdadi dan pemimpin Daish itu sendiri sudah beberapa kali diumumkan terbunuh, namun dipercayai masih hidup dan berada di wilayah Syria berhampiran sempadan Iraq.

Beliau dikatakan sering berpindah bersama sekumpulan kecil pengikut bagi mengelak dikesan.

Al-Baghdadi berasal dari Iraq dan kini menjadi buruan utama seluruh dunia dengan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$25 juta.

Dia mempunyai empat anak dengan isteri pertama dan seorang anak lelaki dengan isteri kedua.

Daish yang mengisytiharkan ‘khalifah’ merentas sempadan di Syria dan Iraq pada 2014, menawan satu pertiga Iraq, namun kini dianggar mengawal tidak lebih daripada tiga peratus wilayah di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 9:33 AM