Agensi

Damsyik: Tentera Syria menyatakan enam terbunuh akibat serangan peluru berpandu Amerika Syarikat yang menyebabkan kemusnahan teruk terhadap pangkalan udara Homs.

AFP melaporkan, jurucakap tentera yang membuat pengumuman melalui televisyen berkata: “Pada 3:42 pagi (0042 GMT) Amerika Syarikat melancarkan serangan ganas peluru berpandu terhadap pangkalan udara kira di wilayah tengah, membunuh enam orang, mencederakan sejumlah lagi dan menyebabkan kerosakan teruk.”

Jurucakap itu bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada tentera atau orang awam yang terbunuh.

Sebelum ini, Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain menyatakan antara yang terbunuh ialah empat tentera Syria, termasuk seorang pegawai kanan.

Amerika melancarkan 59 peluru berpandu dari kapal pembinasa USS Porter dan USS Ross di Lautan Mediterranean terhadap pangkalan udara di Shayrat itu yang dikatakan menjadi pangkalan pesawat yang melancarkan serangan senjata kimia di Idlib, Selasa lalu, menyebabkan 86 orang terbunuh.

Reuters melaporkan, Gabenor Homs, Talal Barazi, berkata pangkalan udara itu menyediakan bantuan udara untuk operasi tentera Syria terhadap militan Negara Islam (IS) di timur Palmyra serta melakukan serangan terhadap ‘pasukan pengganas.’

Bercakap kepada TV Syria, Barazi bekrata: “Kepimpinan dan dasar Syria tidak akan berubah.

“Serangan ini bukan yang pertama kali dan saya percaya ia bukan yang terakhir.

“Perang menentang pengganas akan diteruskan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:03 PM
Kepulan asap dari pangkalan udara Homs selepas dibedil peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan dari USS Portal (gambar kiri).
Kepulan asap dari pangkalan udara Homs selepas dibedil peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan dari USS Portal (gambar kiri).