JACOBS selesa berlatih bersama pelari pecut negara lain di AS. FOTO AFP
JACOBS selesa berlatih bersama pelari pecut negara lain di AS. FOTO AFP
AFP

Ostrava: Juara Olimpik, Marcell Jacobs dan Andre De Grasse berkata mereka menikmati 'berkongsi setiap saat' ketika bersaing antara satu sama lain semasa sesi latihan bersama.

Jacobs dari Itali, yang mengejutkan dunia olahraga tiga tahun lalu dengan dua pingat emas dalam Sukan Tokyo yang ditangguhkan akibat Covid 19, menyertai kumpulan latihan jurulatih Amerika Syarikat (AS), Rana Reider pada musim luruh lalu.

Kumpulan yang berpangkalan di Florida itu juga termasuk pelari Kanada, De Grasse, Trayvon Bromell (AS) dan Abdul Hakim Sani Brown dari Jepun.

"Ia menakjubkan kerana di Rom saya sentiasa berlatih sendirian," kata Jacobs kepada pemberita menjelang pertemuan Golden Spike di bandar Ostrava.

"Sekarang saya berada dalam kumpulan jadi semuanya sudah berubah... anda mempunyai saingan setiap hari," tambah juara 100 meter (m) dan 4x100m Olimpik berusia 29 tahun itu.

"Bagi saya ia sangat penting, bekerja dengan Andre adalah sangat menyeronokkan, kami boleh berkongsi setiap saat. Saya sangat menyukainya," kata Jacobs.

De Grasse, penyandang juara 200m Olimpik dan meraih gangsa di belakang Jacobs dalam 100m, berkata dia suka 'mewujudkan suasana pertandingan'.

"Jacobs datang ke Florida selama lima atau enam bulan, sekarang saya akan ke Itali di mana dia berada di laman sendiri untuk berlatih bersama," tambah De Grasse, 29 tahun, mengakui sebagai peminat spageti carbonara.

Mereka akan menjalani latihan di bandar Rieti di tengah Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:49 PM