MUHAMMAD Hafiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lapan bulan enam tahun lalu di sebuah bilik stor sekolah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Hafiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lapan bulan enam tahun lalu di sebuah bilik stor sekolah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan, enam tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Abdullah, 33, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah atas kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun lapan bulan dan pada masa sama mengacukan sebilah pisau kepada mangsa hingga menimbulkan ketakutan.

Kejadian dilakukan di stor sebuah sekolah, di sini pada 6.50 pagi, 2 Januari 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius dan kejadian membuatkan mangsa trauma.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:08 PM