Abdul Rasheed Ghaffour
Abdul Rasheed Ghaffour
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan untuk menerapkan Maqasid Al Shariah dalam pembaharuan ekonomi dan struktur mampan serta bersifat insaniah.

Gabenornya, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata.

Katanya, sejarah tamadun Islam memperlihatkan bahawa penerapan prinsip syariah sebagai panduan pembangunan adalah selari dengan tahap pembangunan masyarakat yang paling maju pada masa itu.

"Hal ini dapat dilihat melalui tahap kemiskinan yang berkurang dan kemakmuran ekonomi yang mantap.

"Justeru, terdapat beberapa cadangan untuk dipertimbangkan termasuk mengadakan libat urus yang lebih mendalam dengan organisasi pelbagai hala dan pelabur.

"Antaranya, menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan pembaharuan struktur yang mampan.

"Seterusnya, memajukan inovasi dalam tijari (perdagangan) dan wakaf sebagai pemangkin untuk memperkasakan model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan, dengan peranan kewangan Islam diperkukuh dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan nilai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama di sini, hari ini.

Shaik Abdul berkata, integrasi global juga perlu dikukuhkan untuk mendorong pembangunan ekonomi bersama dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global.

Menurutnya, perdagangan global dijangka semakin kukuh, inflasi semakin berkurang dan keadaan pasaran pekerja yang positif terus menyokong pertumbuhan global.

"Bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus kekal apabila ancaman ketegangan geopolitik yang kian meruncing masih berlarutan dan inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menyumbang kepada pasaran kewangan global yang kian tidak menentu.

"Krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara dan keadaan ini bukan hanya mengganggu-gugat dunia kita secara fizikal, malah mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:22 PM