SEKUMPULAN askar Syria berdiri berhampiran bangunan yang musnah di daerah Sukkari di bandar Aleppo yang dulunya antara kubu kuat pejuang penentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad. - AFP
SEKUMPULAN askar Syria berdiri berhampiran bangunan yang musnah di daerah Sukkari di bandar Aleppo yang dulunya antara kubu kuat pejuang penentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad. - AFP
Agensi

Damsyik: Tentera Syria yang semakin bersemangat selepas berjaya menawan semula seluruh Aleppo daripada kumpulan pejuang penentang Presiden Bashar al-Assad, semalam mula mengalihkan tumpuan mereka di wilayah Homs yang letak lebih jauh ke selatan negara itu.

Tentera Syria mendakwa berjaya mengusir Daish dari beberapa kedudukan strategik di bahagian tengah wilayah berkenaan semalam.

Antara kawasan yang dikatakan berjaya ditawan semula ialah Bukit Qubbah dan kawasan sekitar di ibu negeri wilayah berkenaan.

Menurut sumber tentera, 40 anggota Daish ditembak mati dalam operasi itu.

Pada masa sama, sumber itu berkata, tentera Syria juga mematahkan serangan kumpulan penentang di daerah Jubb - al-Jarrah yang terletak kira-kira 75 kilometer ke timur bandar raya Homs.

Agensi berita rasmi Syria melaporkan, 20 penyerang ditembak mati, termasuk pemimpin mereka, Abu Bakr Halqaya.

Ia juga mendakwa melancarkan serangan ke atas kedudukan kumpulan Ahrar al-Sham dan Jabhat Fateh al-Sham yang dulunya dikenali sebagai Barisan al-Nusra di pinggir utara bandar Homs.

Bagaimanapun, sehingga ini, belum ada rancangan dibuat untuk menyerang bandar purba Palmyra yang juga terletak di wilayah Homs.

Daish menguasai semula Palmyra beberapa minggu lalu selepas mengusir tentera Syria dari kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:09 AM