GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tunggu pengumuman Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai keputusan sama ada harga diesel akan diapungkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tunggu pengumuman MKII (Menteri Kerwangan II)," katanya ringkas kepada pemberita pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan mengapungkan harga diesel susulan keputusan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api itu.

Mengenai permintaan penggiat industri supaya kerajaan memperluaskan senarai penerima subsidi diesel, Anwar meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas kebimbangan pengusaha restoran bahawa kenaikan kos pengangkutan akan ditanggung pengguna, Perdana Menteri berkata kerajaan sudah mengambil langkah yang secukupnya bagi menangani perkara itu.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan pada 21 Mei lalu, Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel untuk mengurangkan potensi kesan kenaikan harga secara mendadak terhadap barangan dan perkhidmatan.

Mengulas mengenai isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Perdana Menteri berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kalau ada laporan, ada siasatan dan patut ada penjelasan tentang prosesnya, itu harus dianggap sebagai kes biasa yang patut disiasat," katanya.

Exco Selangor Ng Sze Han pada minggu lalu berkata, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT dan sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Suami Hannah, Ramachandran Muniandy ialah Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:46 PM