MOHAMMAD Kassim didakwa atas kesalahan meminta dan mengambil rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir
MOHAMMAD Kassim didakwa atas kesalahan meminta dan mengambil rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. FOTO Wan Nabil Nasir
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang Inspektor polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung kes dadah tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Kassim didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk tidak melaporkan penahanan individu terbabit yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu dituduh melakukan perbuatan itu di dalam sebuah kereta Proton Persona di Kampung Kenangan, Serdang di Bandar Baharu, kira-kira 10.15 malam pada 21 Jun 2021.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu dituduh bersetuju untuk menerima suapan RM15,000 daripada lelaki terbabit atas dorongan sama di dalam kereta Proton Persona di Sungai Tengas, Serdang kira-kira jam 10.30 malam, hari sama.

Sementara pertuduhan ketiga, Mohammad Kassim didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki lain berusia 30 tahun yang juga ahli keluarga kepada individu disyaki terbabit kesalahan dadah itu atas dorongan sama di dalam Proton Persona di kampung sama kira-kira jam 11 malam, hari sama.

Dalam pertuduhan keempat, tertuduh didakwa bersetuju untuk menerima suapan RM7,000 daripada individu disyaki terbabit kesalahan dadah terbabit menerusi perbualan telefon kira-kira jam 5.40 petang, 22 Jun 2021.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid dan Muhammad Adam Burhanudeen.

Sebelum itu, Mohd Zulfadli mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan itu.

Bagaimanapun Burhanudeen memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:03 PM