PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Bernama
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak 489 kes penipuan pindah milik tanah membabitkan kerugian lebih RM299 juta dicatatkan dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat 19 Mei lalu pula sebanyak 74 kes direkodkan membabitkan kerugian RM60.69 juta.

Menurutnya, prosedur pindah milik tanah perlu dikaji semula dan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan bagi mengekang kes penipuan berkenaan.

"PDRM menyarankan agar prosedur pindah milik tanah diperketatkan dengan meletakkan tanggungjawab kepada Pejabat Tanah untuk mengesahkan ketulenan sesuatu dokumen yang dikemukakan kepada mereka.

"Walaupun tempoh urusan pindah milik menjadi lebih lama, namun ia adalah wajar, mengambil kira kesan jika berlaku penipuan, kerugian yang bakal ditanggung oleh mangsa boleh mencecah sehingga jutaan ringgit," katanya hari ini.

Ramli berkata berdasarkan siasatan pihaknya mengenal pasti beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki dalam urusan pemilikan tanah bagi mengelak berlakunya penipuan.

Menurutnya, kebanyakan kes disiasat membabitkan pembeli yang kurang arif dengan urusan jual beli tanah namun tidak merujuk kepada pihak sepatutnya sebelum membuat pembelian.

"Kurang pengetahuan dalam kalangan kakitangan pejabat tanah untuk mengenal pasti ketulenan dokumen yang dikemukakan dalam urusan jual beli juga menjadi punca.

"Setiap dokumen yang dihantar hanya dipastikan lengkap dan layak untuk didaftarkan namun kebanyakan mereka (petugas pejabat tanah) tidak dilatih atau didedahkan untuk mengesan jenis penipuan yang berlaku dalam urus niaga tanah," katanya.

Menurutnya, polis menyarankan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa dengan membuat semakan status pemilikan tanah mereka.

Katanya, individu yang sudah lama tidak menjelaskan cukai tanah dinasihatkan membuat semakan berikutan ia sering menjadi sasaran penjenayah untuk.

"Pemilik tanah juga jangan mudah terpengaruh apabila ada pihak menawarkan harga tanah yang murah dan pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah.

"Buat semakan berkaitan pemilikan tanah, nombor hak milik, nombor lot, mukim, saiz serta keluasan tanah melalui carian di pejabat tanah dan jumpa dengan tuan tanah secara terus untuk pengesahan (sebelum pembelian)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:38 PM