MOHAMAD Zulhafizie merealisasikan impiannya memakai sut Ultraman Taro pada hari perkahwinannya. FOTO Ihsan Mohamad Zulhafizie Senin
MOHAMAD Zulhafizie merealisasikan impiannya memakai sut Ultraman Taro pada hari perkahwinannya. FOTO Ihsan Mohamad Zulhafizie Senin
Redzuan Muharam


Miri: Demi merealisasikan impian perkahwinannya, Mohamad Zulhafizie Senin sanggup bersanding dengan memakai sut Ultraman Taro pada harinya bergelar raja sehari, Sabtu lalu.

Lantaran itu, kisah Mohamad Zulhafizie, 26, tular selepas video ketika hari persandingannya itu dimuat naik seorang rakan di TikTok.

Menurutnya, sut itu berharga RM2,000 dan ditempah dari Indonesia khusus untuk dipakai ketika majlis persandingannya.

Menyedari minat terhadap cosplay dan karakter adiwira itu, isterinya, Nur Qayyimah Ahmad Rosli, 29, juga keluarga tidak menghalang namun memberi sokongan penuh kepadanya.

"Saya dan isteri berkenaan sejak Julai tahun lalu selepas bertemu dalam satu acara cosplay di sini.

"Dia pun pemain cosplay dan pada hari pertama berjumpa, saya minta akaun Instagram (IG) isteri untuk berhubung sebelum bertukar nombor telefon.

"Kami ada banyak persamaan terutama berkaitan hobi kerana kedua-duanya minat cosplay, kumpul mainan dan bermain permainan video malah waktu pertama kali jumpa, saya sudah beritahunya nak kahwin pakai sut Ultraman.

"Isteri setuju malah kami berdua memang sepakat nak cari kelainan dengan cara itu (pakai sut Ultraman) supaya majlis perkahwinan itu akan jadi kenangan terindah sampai akhir hayat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHAMAD Zulhafizie diijabkabukkan dengan isterinya, Nur Qayyimah pada 25 Mei lalu. FOTO Ihsan Mohamad Zulhafizie Senin
MOHAMAD Zulhafizie diijabkabukkan dengan isterinya, Nur Qayyimah pada 25 Mei lalu. FOTO Ihsan Mohamad Zulhafizie Senin

Mohamad Zulhafizie yang bertugas sebagai pensyarah Reka Bentuk Dalaman di Kolej Komuniti Miri, di sini berkata, dia selesa menggayakan sut Ultraman walaupun memakainya selama tiga jam.

"Saya pakai sut itu dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang dan okay saja kerana memang pilih nak pakai begitu.

"Lagipun, saya sudah biasa pakai sebelum ini waktu sertai acara dan pertandingan cosplay.

"Walaupun dalam sut, saya boleh nampak tetamu teruja kerana waktu berjalan masuk menuju ke pelamin, ada yang ambil gambar dan keluarkan telefon untuk rakan video.

"Cuma, tak sangka rakan muat naik video sampai sampai tular di laman sosial," katanya.

Walaupun menerima kecaman daripada segelintir netizen, Mohamad Zulhafizie terima saja dengan lapang dada kerana dinasihatkan isteri untuk bersabar.

"Saya faham, bila sudah tular begitulah jadinya jadi terima saja cuma marah jika ada cakap perkara tak baik mengenai isteri, itu saja.

"Saya anggap komen itu macam usikan nakal saja dan setakat ini, belum terfikir lagi nak berhenti kumpul mainan dan jadi pemain cosplay kerana terlalu minat.

"Mungkin sampai ada anak pun, saya akan teruskan hobi kerana tak berseorangan memandangkan isteri pun ada minat sama," katanya yang ada kemahiran menjahit sut dan turut memiliki kostum Kamen Rider, Mask Rider, Cyberpunk dan anime lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:56 PM