PASANGAN kekasih menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan  mengabaikan bayi lelaki mereka di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham
PASANGAN kekasih menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 23 Mei, Wan Suhaila membuat keputusan menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukuman terhadap kedua-dua tertuduh selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia tujuh hari itu didapati mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah kedai ayam di Bukit Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai antara jam 7 hingga 7.15 pagi pada 18 Mei lalu.

Wan Suhaila kemudiannya menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen termasuk laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Farhana Shamsudin.

Pada 18 Mei lalu, seorang bayi lelaki seberat kira-kira 3 kilogram ditemui ditinggalkan di atas lantai sebuah kedai menjual ayam, kira-kira jam 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:52 PM