- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang pemandu cedera manakala 37 penumpang terselamat selepas sebuah bas ekspres terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama pemandu kedua berumur 36 tahun sedang dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas dipercayai hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan pakaian.

"Pemandu bas mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan kepala serta dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lagi pemandu bas dan pemandu lori serta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua 37 orang penumpang bas juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan perjalanan ke Terengganu menaiki bas ganti yang disediakan oleh syarikat bas," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:58 PM