ORANG ramai memberikan penghormatan kepada penyanyi lagu rakyat popular, Victor Jara yang dibunuh pada 1973. Foto REUTERS
ORANG ramai memberikan penghormatan kepada penyanyi lagu rakyat popular, Victor Jara yang dibunuh pada 1973. Foto REUTERS
Reuters

LAPAN pegawai pesara tentera Chile dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana membunuh penyanyi lagu rakyat popular, Victor Jara ketika rampasan kuasa 1973 yang mengembalikan kuasa mendiang diktator Augusto Pinochet.

Mahkamah Chile dalam satu kenyataan berkata, hakim menjatuhkan hukuman selepas mengetuai perbicaraan panjang terhadap kematian Jara pada 16 September, iaitu 45 tahun lalu.

Hakim Miguel Vázquez menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sehari ke atas lapan lelaki terbabit kerana membunuh Jara dan bekas pengarah penjara, Littre Quiroga Carvajal.

Suspek kesembilan dipenjara lima tahun kerana peranannya merahsiakan pembunuhan itu.

Jara, 40, seorang penyanyi terkenal, pengarah teater dan profesor universiti yang bersimpati dengan kerajaan sosialis pimpinan Salvador Allende, yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 1973.

Hasil kerja Jara dan kematiannya menjadi inspirasi dan mendapat penghormatan daripada artis termasuk Bruce Springsteen, Clash dan U2.

Jara ditahan bersama beberapa pelajar, felo akademik dan sejumlah penyokong haluan kiri di stadium bola sepak Chile yang kemudian dinamakan sempena namanya.

Menurut tahanan terselamat, tangan Jara dipukul menggunakan belakang pistol dan dia dipukul dengan teruk sepanjang tempoh tahanan. Apabila mayatnya ditemui berhampiran tanah perkuburan, tiga hari selepas kehilangannya, tubuhnya dipenuhi kesan 44 lubang peluru.

Keluarganya, termasuk isteri kelahiran British, Joan dan anak perempuannya Amanda, berjuang untuk mendapatkan keadilan dalam kesnya dan mayatnya menjalani autopsi penuh pada 2009.

Pada 2016, seorang lagi bekas pegawai tentera bersara, Leftenan Pedro Barrientos, didapati bertanggungjawab oleh juri mahkamah persekutuan di Florida kerana menyeksa dan membunuh Jara.

Barrientos yang menetap di Florida dan di ekstradisi ke Chile masih berada dalam pertimbangan Amerika Syarikat (AS), diarah membayar pampasan AS$28 juta (RM113.18 juta) kepada keluarga Jara.

Sepanjang pemerintahan kuku besi Pinochet sehingga 1990-an, dianggarkan 3,200 orang dibunuh manakala 28,000 diseksa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 8:50 AM