Santiago: Pertahanan Chile, Gonzalo Jara disingkirkan daripada Copa America semalam berikutan cubaannya mencucuk menggunakan jari tangannya di belakang badan penyerang Uruguay, Edinson Cavani, umum Persekutuan Bolasepak Chile.

Satu kenyataan menyebut Jara digantung tiga perlawanan selepas mesyuarat jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL merujuk kepada insiden pada suku akhir minggu lalu.

“Persekutuan Bolasepak Chile dimaklumkan mengenai penggantungan tiga perlawanan terhadap Gonzalo Jara oleh jawatankuasa disiplin CONMEBOL,” menurut kenyataan itu.

“Kami kesal dengan penggantungan ini, tetapi tetap menerimanya.”

Penggantungan itu menyaksikan Jara diketepikan bagi pertemuan separuh akhir Chile menentang Peru selain final jika pasukan tuan rumah layak.

Jara mencetus perasaan benci dan kutukan mengenai tindakannya ke atas Cavani, yang dibuang padang kerana bertindak balas.

Rakaman televisyen dan foto insiden itu jelas menunjukkan Jara mencucuk menggunakan jari tangannya ke belakang badan Cavani.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 8:05 AM