PRAYUT
PRAYUT
AFP

Bangkok: Cubaan ketua junta Thailand untuk menambat hati rakyat dengan lagu terbaru ciptaannya yang bertajuk Diamond Heart sempena sambutan Hari Kekasih ini bertukar sebaliknya apabila pengguna media sosial mengkritik hebat lirik lagu itu yang dikaitkan seperti orang yang mahu berpisah.

Dengan rangkap “Adakah kamu tahu senyumanmu adakah kebahagiaanku?” dan “Tidak kira bagaimana penat dan sukar, marilah berpegang tangan,” lagu itu adalah lagu pop keempat yang ditulis Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha sejak tentera merampas kuasa pada 2014.

Bagaimanapun, lagu itu menerima sambutan buruk di YouTube apabila mendapat 14,000 ‘dislike’ berbanding 593 yang memberi ‘like’.

Keadaan itu menunjukkan rakyat Thailand sedia meninggalkan pemerintahan tentera yang terus berkuasa melebihi tempoh yang dijanji mereka.

“Manusia dengan hati berlian sejati tidak akan menipu hari demi hari dan merampas kuasa daripada wanita,” tulis seorang pengguna Twitter, @noonchuckyai yang merujuk tentera pimpinan Prayut merampas kuasa dari perdana menteri wanita pertama Thailand, Yingluck Shinawatra.

Korus lagu itu menggesa rakyat Thailand “Jadikan hati kamu berlian sejati dan jangan ditewaskan.”

Seorang jurucakap junta, Atisith Chainuvati memberitahu, lagu itu yang dinyanyikan seorang pegawai tentera, mula disiarkan di radio kerajaan pada Jumaat lalu dan dia menafikan ia ada kaitan dengan Hari Kekasih yang disambut semalam serta sangat popular di negara itu.

“Pada pemahaman saya, dalam lagu ini, Prayut mahu memberi sokongan kepada rakyat yang berbuat kebaikan untuk negara,” katanya.

Lagu sulung ciptaan Prayut yang bertajuk Kembalikan Kegembiraan Kepada Thailand disiarkan sepanjang masa di stesen radio milik kerajaan tidak lama selepas tentera menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Kekecewaan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Thailand selepas junta tentera beberapa kali memungkiri janji untuk mengembalikan pemerintahan kepada rakyat.

Beberapa siri bantahan kecil tetapi berani dilakukan terhadap junta yang mengharamkan aktiviti politik dan menghukum aktivis yang mengkritik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:27 AM