SANDIAGA
SANDIAGA
Agensi

Jakarta: Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno memberi amaran pentadbirannya serius dalam kempen menentang dadah termasuk menembak mati penyeludup yang cuba melarikan diri daripada ditangkap.

“Kami serius, kami akan gunakan ‘810’ terhadap pengedar dadah yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa,” katanya yang dipetik Jakarta Post semalam.

810 adalah kod polis yang merujuk tindakan menembak dan membunuh suspek yang melawan atau melarikan diri ketika cuba ditangkap pihak berkuasa.

Sandiaga berkata, pentadbirannya juga bekerjasama dengan Agensi Narkotik Jakarta untuk membasmi penyalahgunaan dadah di bandar itu.

Kempen antidadah yang dilancarkan kerajaan menyaksikan peningkatan kematian suspek pengedar dadah oleh polis.

Amnesty International Indonesia merekodkan sekurang-kurangnya 80 suspek pengedar dadah ditembak mati oleh pihak berkuasa pada tahun ini.

Jumlah itu meningkat sebanyak 18 orang berbanding tahun lalu.

Peningkatan jumlah kematian itu meningkatkan kebimbangan perang antidadah itu semakin mengikut jejak langkah kempen kontroversi serupa di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:19 AM