PENDUDUK menaiki bot di bandar Hoi An, tengah Vietnam yang ditenggelami air semalam. - Reuters
PENDUDUK menaiki bot di bandar Hoi An, tengah Vietnam yang ditenggelami air semalam. - Reuters

Danang (Vietnam): Jumlah korban Taufan Damrey yang melanda tengah Vietnam pada Sabtu lalu dilaporkan meningkat kepada 61 orang, kata kerajaan semalam.

Taufan kuat menyebabkan kerosakan teruk apabila menumbangkan pokok serta tiang elektrik selain banjir di tengah Vietnam.

Bencana itu juga berlaku ketika negara itu bersiap menyambut kedatangan pemimpin dunia yang menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula 11 November ini.

Jawatankuasa Pencegahan Bencana berkata, 61 orang terkorban manakala 27 lagi hilang.

Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan punca mangsa terkorban tetapi kebanyakannya berada di wilayah Khan Hoa berhampiran bandar Nha Trang ketika taufan itu melanda, Sabtu lalu.

Hampir 2,000 rumah musnah manakala 80,000 lagi rosak teruk.

Banjir turut melimpahi kawasan jalan hingga menyebabkan kesesakan teruk di beberapa wilayah.

Taufan berkenaan bergerak dari kawasan pesisiran pantai hingga ke kawasan penanaman kopi utama di negara pengeluar kopi robusta terbesar itu.

Pada sidang kemuncak itu, Danang akan menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump termasuk Presiden China Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin serta beberapa lagi pemimpin dunia lain. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 3:43 AM