ASKAR membersihkan jalan yang berlumpur selepas banjir surut di Hoi An,  Vietnam semalam. - EPA
ASKAR membersihkan jalan yang berlumpur selepas banjir surut di Hoi An, Vietnam semalam. - EPA

Danang (Vietnam): Angka korban akibat taufan Damrey yang melanda Vietnam sejak Sabtu lalu kini mencecah 91 orang, kata pihak berkuasa.

Kebanyakan mangsa terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh dalam kejadian ribut antara paling dahsyat pernah melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Taufan itu membadai seluruh kawasan tengah Vietnam, termasuk Danang di mana pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Banjir, tanah runtuh dan nahas bot menyebabkan 91 orang terbunuh setakat ini, kata kerajaan semalam.

Pihak berkuasa melepaskan air yang melimpah dari empangan dan menjalankan usaha berterusan untuk mencari 23 mangsa yang masih hilang.

Pihak berkuasa pengurusan bencana memberitahu, lebih 120,000 rumah dan 101,171 hektar tanah pertanian rosak akibat bencana itu.

Walaupun Danang terselamat daripada kemusnahan besar, bandar bersejarah berhampiran, Hoi An, teruk dilanda banjir.

Selepas air banjir semakin surut, pihak berkuasa dan penduduk membersihkan bandar itu sebagai persediaan menerima lawatan isteri pemimpin APEC. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 6:41 AM