Reuters

Corpus Christi, Texas: Taufan paling kuat yang pernah melanda negeri Texas di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 50 tahun bergerak di kawasan darat semalam dengan menyebabkan banyak kemusnahan.

Taufan Harvey dijangka membawa hujan lebat yang mencetuskan banjir besar selepas membadai kawasan pantai negeri itu pada malam kelmarin dengan angin sekuat 209 kilometer sejam.

Ketika subuh menjelang di selatan AS, gambaran kemusnahan sebenar yang dibawa oleh taufan Kategori 4 yang mula melanda kelmarin itu mula kelihatan.

Harvey juga adalah taufan paling kuat melanda AS dalam tempoh 10 tahun.

Syarikat utiliti di Texas memberitahu, hampir suku juta pengguna terputus bekalan elektrik. Telefon dan Internet juga dilaporkan terputus.

Harvey adalah taufan terkuat melanda Texas, pusat industri minyak dan gas AS, sejak 1961 dan penduduk serta pasukan penyelamat masih berlindung pada awal pagi semalam.

Bandar Rockport yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Corpus Christ, kelihatan menjadi kawasan paling teruk terjejas.

Datuk bandar itu menasihatkan penduduk yang enggan berpindah supaya menulis nama pada tangan mereka untuk tujuan pengenalan sekiranya berlaku kematian atau kecederaan.

“Ketika ini kami masih berlindung dan tidak boleh pergi ke mana-mana,” kata ketua pasukan bomba sukarela Rockport, Steve Sims.

Pegawai kecemasan dan media melaporkan, banyak bangunan seperti sekolah, hotel dan apartmen mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, Pusat Taufan Kebangsaan AS memberitahu, Harvey melemah ketika semakin bergerak ke kawasan darat dan bakal menjadi ribut tropika

Taufan Katrina yang melanda New Orleans di Louisiana pada 29 Ogos 2005 adalah taufan paling dahsyat di AS menyebabkan lebih 1,300 orang terkorban ribuan bangunan musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:41 AM