Pelakon terkenal Bangladesh Shakib Khan (kanan) dan Ijajul Mia (kiri).
Pelakon terkenal Bangladesh Shakib Khan (kanan) dan Ijajul Mia (kiri).
Agensi

PEMANDU beca bermotor menyaman pelakon popular Bangladesh, Shakib Khan, kerana menggunakan nombor telefon bimbitnya dalam filem terbaru pelakon itu menyebabkan kehidupannya huru-hara diburu peminat Shakib, terutama wanita.

Ijajul Mia yang baru berkahwin dan tinggal di perkampungan Jatrapasha, Baniachang Upazila, berkata kehidupannya terganggu, malah isterinya menjadi cemburu selepas ratusan peminat wanita Shakib menghubunginya setiap hari.

BBC melaporkan, dia menuntut ganti rugi lima juta taka (RM254,125) dan mahu tayangan filem itu dihentikan sehingga kes berkenaan selesai kerana ia menyebabkan perkahwinannya hampir musnah.

Satu babak cinta filem ‘Rajneeti’ lakonan Shakib yang ditayangkan di pawagam mulai 25 Jun lalu, pelakon itu menyebut nombor telefonnya kepada kekasihnya.

Sejak itu, Ijajul menganggarkan dia menerima hampir 500 panggilan sehari dalam tempoh lima hari pada Julai lalu, daripada wanita yang mahu bertemu Shakib kerana menyangka nombor telefon itu milik Shakib.

“Mereka akan berkata “Hello Shakib, saya peminat anda. Boleh beri saya dua minit untuk bercakap?”

Shakib, pelakon terkenal Bangladesh dan menerima pelbagai anugerah, menerbit, mengarah dan berlakon dalam filem Rajneeti itu.

Ijajul berkata, dia tidak boleh menukar nombor telefonnya kerana akan kehilangan pelanggan tetap.

“Saya baru berkahwin dan ada seorang anak perempuan. Lambakan panggilan telefon daripada wanita ini menyebabkan isteri menyangka saya mempunyai hubungan sulit,” katanya yang pernah terfikir menjual rumah manakala isterinya mengancam meninggalkannya.

AFP melaporkan, seorang peminat wanita sanggup membuat perjalanan sejauh 500 kilometer ke rumah Ijajul selepas berjaya mengesan alamatnya.

Menurut laporan media tempatan, ketika kesnya difailkan di mahkamah minggu ini, hakim kelihatan tidak berminat namun bertukar fikiran selepas meneliti bukti huru-hara dialami Ijajul, lalu menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:00 PM