Pelarian wanita Rohingya berasak-asak mengambil bantuan makanan untuk keluarga mereka di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS
Pelarian wanita Rohingya berasak-asak mengambil bantuan makanan untuk keluarga mereka di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS
Agensi

SEMBILAN maut selepas lori membawa bekalan bantuan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh, terbalik ketika melalui jalan berlumpur akibat hujan, hari ini.

Reuters melaporkan pegawai kanan Bulan Sabit Merah, A K M Jahangir berkata, enam mangsa mati di tempat kejadian manakala tiga lagi mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sekurang-kurangnya 10 lagi cedera dan mereka yang terbunuh ialah pekerja bagi memunggah barangan bantuan.

Kemalangan itu menunjukkan kesukaran dihadapi agensi bantuan yang bertungkus-lumus membantu lebih

420,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di Myanmar.

Menurut AFP, lori berkenaan membawa makanan untuk pelarian yang berkampung di kawasan tidak berpenghuni di sempadan Bangladesh - Myanmar.

Timbalan Ketua Polis wilayah Bandarban, berkata pemandu dikatakan hilang kawalan ketika melalui jalan berlumpur itu menyebabkan lori terbabas ke dalam parit dekat pos sempadan Chhakdala, 50 kilometer dari Cox's Bazar.

Lori berkenaan membawa beras, garam, gula dan bekalan makanan lain untuk operasi bantuan Jawatankuasa Bulan Sabit Merah Antarabangsa (ICRC) dan tempatan.

“Bekalan makanan selama 21 hari itu untuk 500 keluarga Rohingya yang terkandas di sempadan,” kata jurucakap ICRC, Rayhan Sultana Toma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 5:14 PM