GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Reuters

Dhaka: Bangladesh tidak akan membenarkan lagi pelarian Rohingya dari Myanmar memasuki negara itu kerana jumlah besar pelarian yang sudah ada di sana kini mengancam keselamatannya sendiri.

Etnik Rohingya yang menghadapi penganiayaan di Myanmar selama beberapa dekad mendorong hampir sejuta pelarian berlindung di Bangladesh.

Mereka tinggal di kem yang sesak diperbuat daripada buluh dan plastik di daerah sempadan Bangladesh, Cox's Bazar, kem pelarian terbesar di dunia, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017.

Pemerintah tentera Myanmar melihat Rohingya sebagai penceroboh asing dan menafikan kewarganegaraan mereka, menyebabkan Bangladesh tidak boleh menghantar mereka pulang melalui sempadan ke Rakhine.

"Kami tidak akan membenarkan lagi Rohingya memasuki negara ini. Mereka sudah menjadi beban kepada kami," kata Menteri Pengangkutan Jalan dan Jambatan, Obaidul Quader, kepada pemberita pada Rabu.

"Bantuan antarabangsa telah dikurangkan dengan ketara. Berapa lama kita boleh menyokong mereka?" katanya.

Tambah Quader, Dhaka sedang berbincang dengan India dan China untuk memastikan konflik dalaman di negara jiran Myanmar tidak menjejaskan Bangladesh.

Bangladesh, pada Selasa memanggil duta Myanmar untuk membantah peningkatan keganasan di sempadan, yang mengorbankan dua orang, termasuk seorang etnik Rohingya di sebelah Bangladesh.

Sementara itu, pesuruhjaya bantuan dan penghantaran pulang pelarian Bangladesh yang berpangkalan di Cox's Bazar, Mohammad Mizanur Rahman berkata, keputusan itu tidak dapat dielakkan.

"Malah sekarang, beberapa ratus pelarian, kebanyakannya daripada kumpulan etnik Chakma, berkumpul di sempadan Myanmar untuk memasuki Bangladesh ketika pertempuran antara pasukan pemberontak Myanmar dan rejim junta Myanmar semakin sengit.

"Sudah tujuh tahun mereka di sana dan kini kami tidak dapat menghantar mereka pulang. Bangladesh terpaksa menggalas beban yang besar kerana etnik Rohingya ini.

"Tindakan terus membenarkan etnik Rohingya ini berada di Bangladesh kini mengancam undang-undang, keselamatan dan ketenteraman negara kami sendiri kerana jenayah rentas sempadan kini lebih kerap berlaku," katanya.

Katanya, beberapa agensi bantuan yang memberikan sokongan kewangan bagi membiaya kos penjagaan etnik Rohingya sebelum ini sudah menghentikannya, sekali gus menimbulkan banyak tekanan ekonomi untuk Bangladesh.

Justeru, Rahman menggesa pertubuhan kemanusiaan seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk memberikan bantuan makanan dan perubatan kepada mereka yang terperangkap dalam konflik di Myanmar.

Menurutnya, ia akan memastikan orang ramai tidak perlu menyeberangi sempadan dan masuk ke Bangladesh.

Jurucakap Pengawal Sempadan Bangladesh, Shariful Islam pula berkata sekurang-kurangnya 327 tentera sempadan dan polis dari Myanmar, sebahagiannya cedera akibat tembakan, melarikan diri ke Bangladesh sejak beberapa hari lalu ketika keganasan semakin memuncak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 5:13 PM