ORANG ramai di Sittwe di negeri Rakhine, Myanmar, berpindah ke tempat selamat susulan taufan yang dijangka melanda Bangladesh dan Myanmar. FOTO AFP
ORANG ramai di Sittwe di negeri Rakhine, Myanmar, berpindah ke tempat selamat susulan taufan yang dijangka melanda Bangladesh dan Myanmar. FOTO AFP
AFP

Sittwe, Myanmar: Kerajaan Bangladesh memindahkan pelarian Rohingya dari kawasan berisiko ke pusat komuniti, dengan ribuan dilapor meninggalkan pulau ketika taufan paling kuat dalam tempoh lebih sedekad melanda negara itu dan Myanmar.

Taufan Mocha membawa angin sehingga 220 kilometer sejam dan Jabatan Meteorologi India mengklasifikasikannya sebagai terburuk.

Ia dijangka mendarat pagi Ahad di antara Cox's Bazar, di mana hampir satu juta pelarian Rohingya tinggal di kem yang sebahagian besarnya terdiri daripada tempat perlindungan biasa dan Sittwe di pantai Rakhine barat Myanmar.

Salah seorang penduduk Sittwe, Khine Min berkata, mereka membawa bersama harta berharga dan haiwan peliharaan menaiki kenderaan ke tempat lebih tinggi.

"Kami ada nenek dalam keluarga dan kami perlu menjaganya.

"Hanya seorang ahli keluarga lelaki ditinggalkan untuk menjaga rumah," katanya kepada AFP.

Premis perniagaan di bandar yang mempunyai kira-kira 150,000 penduduk itu ditutup dengan ramai penduduk setempat berlindung di rumah ibadat.

Kyaw Tin, 40, berkata, dia tidak boleh meninggalkan kawasan itu kerana anaknya berada di hospital dan berharap taufan berhenti melanda kawasan itu.

"Saya bimbang taufan akan menjejaskan kawasan ini sama seperti di Nargis," katanya merujuk kepada ribut 2008 yang mengorbankan lebih 130,000 orang di selatan Myanmar.

Pada Jumaat lalu, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Myanmar memindahkan penduduk kampung di sepanjang pantai Rakhine.

Dalam pada itu, Myanmar Airways International dilaporkan menggantung sementara penerbangan ke Rakhine sehingga Isnin.

Taufan itu pernah melanda pantai selatan Bangladesh pada November 2007, mengorbankan lebih 3,000 orang dan menyebabkan kerosakan berbilion dolar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 11:25 AM