SEBUAH keluarga miskin berehat di dalam paip konkrit yang dijadikan rumah.
SEBUAH keluarga miskin berehat di dalam paip konkrit yang dijadikan rumah.
SEORANG lelaki berehat di dalam paip konkrit yang akan digunakan bagi projek sistem pengairan dan kumbahan di bandar Manila.
SEORANG lelaki berehat di dalam paip konkrit yang akan digunakan bagi projek sistem pengairan dan kumbahan di bandar Manila.
BENCANA alam seperti taufan memaksa ramai kanak-kanak menjadi gelandangan.
BENCANA alam seperti taufan memaksa ramai kanak-kanak menjadi gelandangan.

Sempit, kotor malah tanpa kemudahan asas yang lengkap, paip konkrit yang menjadi tempat tinggal golongan miskin di Filipina ini tidak layak dipanggil rumah.

Namun, bagi golongan gelandangan, paip konkrit yang banyak ditemui di kawasan setinggan ini tidak ubah seperti syurga buat mereka.

Beberapa keluarga termasuk bayi dilihat tidur dan berlindung di dalam struktur konkrit itu yang tersusun di jalan sekitar Manila dengan kanak-kanak bermain berhampirannya.

Sesetengah mereka mengambil inisiatif dalam mewujudkan ruang privasi dengan menggantung kain di ruang masuk.

Sementara tempat tidur dibina menggunakan kayu terbuang manakala pakaian dibasuh dan digantung di sekeliling paip konkrit.

Sejak beberapa tahun, Filipina antara ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia tetapi usaha kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup di negara yang mempunyai lebih 100 juta penduduk itu berdepan pelbagai cabaran.

Taufan dan bencana alam yang lain serta kemiskinan, rasuah dan infrastruktur yang lemah antara cabaran yang dihadapi negara itu.

Secara kasar, kira-kira satu perempat daripada penduduk Filipina hidup dalam kemiskinan iaitu didefinisikan memperoleh pendapatan AS$1 (RM4) sehari.

Filipina tidak putus-putus berdepan bencana alam dengan sebahagian besar negara itu terletak di Lingkaran Api Pasifik, di mana puluhan letusan gunung berapi dan gempa bumi berlaku.

Negara itu juga secara purata dilanda 20 taufan setahun dan kebanyakannya membawa maut.

Taufan Melor yang membadai Filipina pada Disember lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.

Dua bulan sebelum itu, ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas timur laut Filipina dilanda Taufan Koppu.

Taufan ganas itu yang merentasi pulau, memusnah­kan rumah, menumbangkan pokok dan talian kuasa serta menghancurkan jalan raya dan jambatan.

Hampir 23,000 orang dipindahkan dari laluan taufan berkenaan dengan feri dan penerbangan dihentikan.

Pada November 2013, Taufan Super Haiyan antara ribut terkuat yang direkodkan, meranapkan wilayah tengah Filipina dengan ombak seperti tsunami, menyebabkan 7,350 penduduk maut atau hilang.

Pada 2012 pula, lebih 50 maut apabila Taufan Saola membadai dan sembilan lagi dilaporkan mati kerana hujan lebat, dengan menjadikan sebahagian ibu negara itu ditenggelami air.

Tidak dilupakan ratusan yang maut dalam kejadian pada 2009 apabila Taufan Ketsana melanda bandar Manila.

Banjir yang mencapai paras leher di beberapa kawasan memaksa puluhan ribu orang meninggalkan rumah dan menyelamatkan diri di kawasan tanah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:01 AM