Manila: Pihak berkuasa di wilayah Aurora, utara Filipina semalam bersiap sedia untuk memindahkan ribuan penduduk dan meminta pelancong pulang atau berlindung sebelum taufan membadai kawasan pantai timur laut dalam masa beberapa jam akan datang.

Taufan Maysak dijangka semakin lemah apabila ia tiba di Aurora.

Menurut biro kaji cuaca, taufan berkenaan masih berupaya membawa angin kencang dan hujan lebat apabila ia merentasi kawasan utara Luzon, pulau utama di Filipina Ahad ini.

Kira-kira 10,000 pelancong asing dan tempatan bercuti di Teluk Baler di Aurora, kawasan popular dalam kalangan peminat peluncur sejak cuti panjang bermula kelmarin.

Bandar Baler yang terletak 150 kilometer ke timur laut Manila mempunyai 36,000 penduduk.

“Esok (hari ini) kami akan melakukan pemindahan awal bagi mengelak taufan itu,” kata ketua majlis bencana Aurora.

Lebih 50 sekolah dan gimnasium di bandar itu sudah disediakan untuk menjadi tempat perlindungan sementara.

Menurut biro kajicuaca, Maysak yang berkategori lima awal minggu ini kini melemah kepada kategori dua dengan angin selaju 185 kilometer sejam.

Setakat (semalam) taufan itu berada kira-kira 700 kilometer ke utara Virac di pulau Catanduanes dan bergerak perlahan-lahan ke arah barat daya.

“Maysak akan berubah kepada ribut tropika apabila tiba di darat Ahad ini. Namun, ia berupaya membawa kemusnahan. Walaupun dengan angin selaju 120 hingga 150 kilometer sejam, ia amat kencang,” kata Raymund Liboro, penolong setiausaha Jabatan Sains dan Teknologi.

Taufan itu boleh memusnahkan tanaman padi dan jagung di tengah dan utara Filipina. Bagaimanapun, kerosakan itu dijangka meninimal memandangkan musim menuai berakhir Februari lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:14 AM