PENDUDUK di bandar Sarmin menyempurnakan pengebumian tujuh sukarelawan White Helmets, kelmarin. - Agensi
PENDUDUK di bandar Sarmin menyempurnakan pengebumian tujuh sukarelawan White Helmets, kelmarin. - Agensi
GAMBAR fail, Abu Kifah (kanan) bersama bayi yang diselamatkan dari celah runtuhan bangunan  Oktober lalu.  - Agensi
GAMBAR fail, Abu Kifah (kanan) bersama bayi yang diselamatkan dari celah runtuhan bangunan Oktober lalu. - Agensi
Agensi

Damsyik: Seorang sukarelawan yang pernah menyelamatkan seorang bayi selepas serangan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad maut dalam satu serangan di Syria kelmarin.

Abu Kifah menjadi tajuk akhbar Oktober tahun lalu selepas dia menyelamatkan Wahida Ma’artouk, yang kini berusia hampir setahun dengan mengheretnya keluar dari runtuhan bangunan.

Sukarelawan berusia 22 tahun itu menangis ketika kali pertama memeluk Wahida tetapi dilihat menahan air matanya dalam pertemuan kedua lewat bulan itu.

Mengesahkan kematiannya semalam, Matiah Jallal, rakan karib Abu Kifah berkata, wira itu adalah antara tujuh sukarelawan kumpulan White Helmets yang ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali yang menyerang sebuah pejabat di Sarmin, sembilan kilometer dari Idlib.

“Sukar hendak menggambarkan perasaan saya. Seluruh bandar bersedih dengan kematian Abu Kifah dan rakannya,” kata Jallal.

Abu Kifah menimang cahaya matanya yang pertama tahun ini. Isternya dikatakan masih terkejut dengan kematiannya secara tiba-tiba.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, jurucakap White Helmets berkata, penyerang turut melarikan dua bas mini, beberapa topi dan walkie-talkie kumpulan itu selepas serangan berkenaan.

Kawasan itu dikuasai kumpulan penentang rejim Bashar, Hayat Tahrir al-Sham yang turut mengecam serangan berkenaan dan berikrar untuk memburu penyerang terbabit.

Kumpulan pemerhati hak asasi manusia bagi Syria berkata, ketujuh-tujuh sukarelawan itu ditembak di kepala.

“Rakan mereka datang untuk pertukaran syif dan menemui mayat mereka,” kata pengarah kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman.

White Helmets mula terkenal pada 2013 kerana kegiatan sukarelawan mereka menyelamatkan orang awam di kawasan yang dikuasai penentang Bashar.

Kumpulan itu pernah dicalonkan menerima Hadiah Nobel Keamanan 2016.

Meskipun bekerja di kawasan yang dikuasai penentang, kumpulan itu bertegas menyatakan mereka berkecuali dalam perang saudara Syria.

Bagaimanapun, rejim Bashar dan sekutunya, Russia, menuduh mereka menjadi alat penderma antarabangsa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:57 AM