ANTARA tumpuan pelancong.
ANTARA tumpuan pelancong.
PENDUDUK menikmati musim panas di tepi Sungai Ishim.
PENDUDUK menikmati musim panas di tepi Sungai Ishim.
ANTARA tumpuan pelancong.
ANTARA tumpuan pelancong.
Nurul Husna Mahmud


Ibarat mengantuk disorongkan bantal, pelawaan teman wartawan NSTP Bilqis Bahari yang sanggup melapangkan masa membawa saya serta dua rakan media melawat sekitar bandar Astana Kazakhstan tidak dilepaskan.

Dia menetap di Kazakhstan sejak awal tahun lalu kerana mengikut suaminya kembali ke Kazakhstan menguruskan peniagaan di negara EuroAsia terbabit.

Mengakui sukar untuk meneruskan hidup di bumi asing itu, Bilqis mula mempelajari bahasa Kazakh bagi membolehkan dia menguruskan rutin harian ketika ketiadaan suami.

Kebetulan lawatan penulis kali ini diundang membuat liputan Ekspo Astana 2017 dan Forum Media Eurasian 2017 di Astana turut berlangsung pada musim panas memberi masa lebih panjang untuk meneroka sekitar bandar.

Iklim di Astana boleh dikatakan ekstrem buat kami dari Malaysia. Mana tidaknya tempoh siang lebih panjang iaitu 18 jam dan suhu sekitar 25 darjah Celsius boleh mendadak turun kepada 16 darjah Celsius ketika malam.

Namun, itu tidak mengubah tabiat masyarakat tempatan yang gemar berjalan kaki dari kediaman ke tempat kerja mahupun ke taman awam atau restoran pada jarak jauh.

Malah perjalanan kami ulang-alik melawat tarikan sekitar Astana dari Hotel King Astana, lokasi menginap juga berjalan kaki. Perjalanan dari hotel ke Monumen Memorial The Atameken Ethno di atas bukit berhampiran.

Namun, tidak pula berasa tertekan sebaliknya kami gembira dapat mengelilingi dan merakam foto disepanjang sungai utama berkenaan.

Mengenai The Atameken Ethno boleh dikatakan fungsinya seperti mana Tugu Negara di Malaysia yang mana mengabadikan nama pejuang terkorban dalam konflik ketidakstabilan politik ketika era Soviet Union satu ketika dulu.

Seperti peranan taman utama di bandar Eropah, lokasi Central Park menempatkan pelbagai konsep taman termasuk habitat angsa hitam dan putih menjadi lokasi untuk penduduk Astana berekreasi mahupun beriadah bersama keluarga kala petang.

Berhampiran lokasi sama terletak berhampiran sungai Ishim, ada juga taman tema kecil untuk melakukan aktiviti air seperti berenang dan bersantai. Selain itu ada juga perkhidmatan bot membawa pelancong menyusuri sungai terbabit.

Kata Bilqis ketika musim sejuk, suhu boleh menjadi sangat rendah iaitu seekstrem -26 darjah Celsius menyebabkan sungai membeku. Rahmat di sebalik sungai beku, ia menjadi jalan singkat untuk mereka tinggal di bandar lama menuju ke pusat bandar baru.

Malah ada juga penduduk mengambil kesempatan meluncur di permukaan sungai. Namun, penduduk lebih gemar bersantai dirumah mahupun melepak di kedai kopi sekitar bandar.

Menarik mengenai gaya hidup masyarakat tempatan, dulunya mereka golongan nomad berpindah-randah untuk mencari lokasi sesuai bagi tujuan penternakan dan tanaman.

Kalau dilihat masih wujud tinggalan menceritakan susur galur termasuklah model binaan rumah tradisional nomad dipanggil Yut diletakkan di kawasan tumpuan di taman awam.

Turut mengisi itenerari waktu lompong, kesempatan mengunjungi pasar terkenal di Astana iaitu Pasar Artyum.

Pasar itu terletak di bandar lama kerana memasarkan produk buah kering dan segar antaranya ceri, beri, pic dan sayur-sayuran pada harga murah.

Malah kesempatan memborong kacang seperti walnut, pistachio dan pelbagai lagi sebagai buah tangan pada harga borong.

Lucu bagi penulis ketika membeli-belah, sesi tawar menawar berlangsung menggunakan bahasa isyarat dan riak muka.

Rata-rata rakyat negara ini hanya bertutur dalam bahasa Kazakh dan Russia. Namun, tidak sukar menawarkan setiap barang dengan bantuan kalkulator bagi sebut harga dan andainya dipersetujui peniaga. Kazakhstani Tenge adalah mata wang Kazakhstan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 8:04 AM