PELBAGAI jenis makanan kekacang dan sunnah.
PELBAGAI jenis makanan kekacang dan sunnah.
BANGUNAN pencakar langit tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
BANGUNAN pencakar langit tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
PENULIS di depan Masjid Hazrat Sultan.
PENULIS di depan Masjid Hazrat Sultan.
PENIAGA menjual buah-buahan dan sayuran.
PENIAGA menjual buah-buahan dan sayuran.
Mohamad Hussin


Tidak terlintas di fikiran penulis akan menjejakkan kaki ke bumi Kazakhstan kerana dalam ‘senarai’ percutian hanya terbayang negara Eropah.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Astana, perasaan ingin tahu apakah yang menarik di negara trans benua di Asia Tengah ini makin membuak-buak.

Malah bercampur baur sedih dan teruja apabila ditugaskan ke luar negara bagi membuat liputan Ekspo Astana 2017 di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini.

Mana tidaknya, kerana ini kali pertama penulis menyambut Aidilfitri di perantauan. Jadual penerbangan jatuh pada 1 Syawal (25 Jun lalu) kira-kira 10.55 pagi.

Astana ialah bandar kedua terbesar selepas bandar Almaty. Ia terletak di selatan tengah Kazakhstan iaitu di wilayah Aqmola.

Kazakhstan adalah negara republik terakhir Soviet yang mengisytiharkan kemerdekaan selepas pembubaran Soviet Union pada 1991.

Malah Astana dibina berkonsepkan bandar raya paling moden abad ini dan diberi gelaran sebagai ‘Pearl of Doha in Central Asia.’ Konsep ini juga seperti Putrajaya di Malaysia.

Kunjungan penulis bersama beberapa rakan media Malaysia ke Ekspo Astana 2017 yang dibawa Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Penulis sempat melawat beberapa kawasan biarpun ‘terikat’ dengan jadual liputan. Kelapangan waktu yang ada pada hari terakhir sebelum pulang ke tanah air digunakan sepenuhnya untuk melawat lokasi menarik.

Seorang rakan media yang pernah ke negara berkenaan tujuh tahun lalu, ‘terkesima’ melihat pembangunan pesat bumi Astana dalam jangka masa beberapa tahun.

Tidak lengkap melawat Astana kalau tidak berkunjung ke Monumen Bayterek yang juga mercu tanda penting kepada kota Astana.

Monumen ini berbentuk menara setinggi 97 meter terletak di tengah-tengah antara pejabat Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri Kazakhstan.

Di atas monumen diletakkan bulatan keemasan. Ia adalah simbol kepada telur emas daripada burung mistik yang menjadi legenda kepada bangsa Kazakh iaitu Samruk.

Telur emas itu dikatakan mengandungi rahsia keinginan dan kebahagiaan terletak di atas pokok yang susah hendak dicapai manusia.

Penulis juga berpeluang melawat masjid terbesar di Asia Tengah iaitu Masjid Hazrat Sultan yang boleh menampung 12,000 jemaah pada satu-satu masa.

Ia terletak di kawasan seluas kira-kira 17,000 meter persegi. Masjid yang putih berkilat ini adalah sebuah daripada tujuh buah masjid di Astana, dibina dengan gaya klasik Islam dengan barang perhiasan serta hiasan tradisional Kazakh.

Ia mempunyai empat menara, masing-masing setinggi 77 meter. Ketinggian kubah utamanya ialah 51 meter dengan garis pusat 28 meter.

Difahamkan, kira-kira 70 peratus daripada 17 juta penduduk Kazakhstan beragama Islam fahaman Ahli Sunah Waljamaah berasaskan mazhab Hanafi.

Lokasi seterusnya kami membeli-belah di pasar Artem yang menjual pelbagai barangan basah dan kering. Rambang mata penulis dan rakan melihat kedai buah-buahan dan kekacang yang dijual dengan harga murah berbanding di Malaysia.

Perbezaan kulit gelap

Selain itu, apa yang mencuit hati penulis ialah rakyat negara itu seperti pelik melihat kehadiran kami mungkin perbezaan kulit gelap yang jarang dilihat penduduk tempatan.

Beberapa rakan media seperti ‘selebriti’ popular apabila mereka mahu bergambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Ada yang menegur dan bertanya dari negara mana kami datang.

Rakyatnya juga amat mesra serta mudah didekati apatah lagi apabila mengetahui kami berasal dari Malaysia.

Menurut Duta Malaysia ke Kazakhstan Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, lebih 8,000 pelajar Kazakhstan menyambung pengajian di Malaysia terutama bidang bahasa Inggeris dan perniagaan.

“Dalam usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala, hubungan perlu ditingkatkan dengan menggalakkan pelancongan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

“Air Astana kini mengendalikan penerbangan terus dari Almaty ke Kuala Lumpur selama tiga kali seminggu (Selasa, Khamis dan Sabtu),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 1:15 PM