Oleh Ahmad Saufi Mansor


Dikenali sebagai Permata Asia, Taiwan bukan negara pilihan untuk dikunjungi penulis kerana wujud stigma sukar mendapatkan makanan halal. Maklum saja, penduduk Islam di negara kepulauan itu hanya mino­riti dan rakyatnya bertutur pula dalam bahasa Mandarin.

Justeru sebagai persediaan, biskut dan mi segera dibawa sebagai bekalan jika kelaparan. Pelbagai hal negatif berlegar di fikiran, terutama soal makanan, ketika berada di negara yang turut dikenali dengan nama Formosa atau Pulau Cantik (dalam bahasa Portugis).

Sepanjang penerbangan lebih empat jam dari klia2 bersama rombongan media Malaysia sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taiyoun, kira-kira 40 kilometer di Barat Taipeh, fikiran penulis menerawang jauh.

Kebimbangan dan rasa prejudis terungkai apabila menyedari wujud restoran mahupun hotel dalam jumlah terhad yang menyediakan masakan untuk pelancong Islam walaupun komuniti Muslim di negara berkenaan hanya sekitar 170,000 orang dengan keba­nyakan mereka pekerja warga Indonesia.

Sebaik melangkah keluar dari pesawat Airbus A330-300, penulis mendapati masyarakat Taiwan sa­ngat patuh kepada peraturan dan berdisiplin, malah turut diberi 'nasihat' awal oleh pemandu pelancong, Cecilia Chen bahawa penulis tidak dibenarkan merokok di dalam bangunan di negara itu.

Wah, sesiapa yang mahu merokok perlu berada di lokasi dikhaskan di luar bangunan, dan memang sukar melihat puntung rokok bersepah-sepah berbanding di negara sendiri.

Kami kemudian menaiki bas dan sepanjang perjalanan ke hotel pe­nginapan, Cecilia memaklumkan, pelancong Islam tidak perlu bimbang kerana beberapa restoran mahupun hotel menyediakan hidangan halal dengan pengesahan Persatuan Cina Muslim (CMA) di Taiwan.

Mereka mendapat pengesahan sijil halal atau berstatus Mesra Muslim, di mana peralatan atau bahan mentah di restoran atau hotel berkenaan perlu diasingkan dengan makanan untuk bukan Islam lain kerana tidak mahu menimbulkan keraguan.

Sebenarnya, Taiwan yang bersaiz­ lebih kurang negeri Pahang serta mempunyai 23 juta penduduk, pernah diiktiraf oleh majalah National Geographic Traveler sebagai antara negara mempunyai rahsia terulung yang tersembunyi di rantau Asia.

Ia yang megah dengan Menara Taipei 101 terbahagi kepada lima wilayah iaitu Utara, Tengah, Timur, Selatan dan kepulauan mula diduduki kaum Asli yang bertutur dalam bahasa Austronesian dikatakan sangat rapat dengan bahasa Melayu, Tagalog dan Indonesia.

Bagaimanapun, populasi Orang Asli Taiwan kini hanya sekitar dua peratus manakala selebihnya ma­syarakat Cina berketurunan Han, dengan Mandarin menjadi bahasa pertuturan utama.

Walaupun memiliki garis waktu sama dengan Malaysia, matahari mula terbenam sekitar jam 5.30 petang dengan suhu di Utara Taiwan hanya sekitar 15 darjah Celsius kerana musim sejuk ketika kami berada di sana, berbanding cuaca panas sehingga 27 darjah Celsius ketika berada di bahagian Selatan.

Taiwan mempunyai banyak lokasi menarik dan kunjungan ke Tasik Sun Moon di Nantou (Tengah Taiwan) berkedudukan kira-kira 748 meter dari aras laut menyaksikan tasik air tawar terbesar berkenaan menjadi tumpuan penduduk dan pelancong sama ada untuk melihat keindahan pemandangan atau beriadah.

Secara kebetulan, kami turut berkesempatan menyaksikan Festival Berbasikal Taiwan 2014 dengan kehadiran kira-kira 10,000 peminat sukan berkenaan, termasuk kanak-kanak dan warga asing, dengan penganjuran pelbagai pertandingan selain pertunjukan pakaian beragam bersama basikal antik.

Ketika itu, peminat sukan berbasikal selain golongan ibu bapa di negara berkenaan membawa anak mereka berkayuh, termasuk me­ngelilingi tasik menerusi laluan disediakan. Malah, kami diberi peluang berkayuh sejauh enam kilometer bagi menyaksikan panorama indah di tasik terbabit walaupun ­ketika itu hujan renyai.

Tasik yang terletak di tengah kawasan pergunungan ini dan tidak terusik dek pembangunan mula terbentuk pada 1930-an ketika era penjajahan Jepun, secara tidak langsung membolehkan pengunjung merentasinya selain dengan berbasikal, sama ada menaiki bot atau perkhidmatan bas dari satu kawasan ke kawasan lain.

Kami kemudian menaiki kereta kabel di kawasan tasik terbesar di negara terbabit sehingga ke puncak setinggi 996 meter menuju ke Perkampungan Budaya Orang Asli Formosa yang terletak di lokasi sama dengan turut dipertontonkan dengan persembahan budaya masyarakat mereka.

Pandangan dari luar kelihatan suram, namun bekas kilang gula di Taiwan yang dibina pada 1909 ketika pemerintahan Jepun itu antara puluhan kilang bahan mentah berkenaan yang wujud di negara ini sebelum ditutup secara rasmi pada 2003 dengan mengekalkan hanya dua kilang.

Ia kini dijadikan ikon emosional di kalangan penduduk, terutama warga tua sebelum ini, tetapi dimeriahkan dengan kewujudan Perkampungan Budaya Dram 10 (Ten Drum) dengan persembahan peralatan perkusi selain tempat pembikinan pelbagai jenis dram.

Kami turut dipertontonkan de­ngan persembahan selama 40 minit oleh Kumpulan Kesenian Genderang 10 Dram menggunakan peralatan dram berbentuk seperti rebana di negara kita, menarik dan mengujakan dengan lantunan irama menusuk kalbu dengan kombinasi tradisional dan moden.

Lawatan kami kemudian tiba di Bandar Kaohsiung dan sempat menikmati hidangan Indonesia yang popular de­ngan sate kambing sebelum sebelah petang pula menaiki bot menyusuri sungai dikenali sebagai Love River, seperti yang ada di Sungai Melaka.

Pemandangan sepanjang menyusuri sungai berkenaan sementara menunggu matahari terbenam memang cantik, tambah pula dapat melihat landskap menarik di tepian de­ngan kerlipan cahaya lampu berwarna-warni di tebing dan jambatan, malah turut boleh bersantai menikmati kopi panas di tepi sungai ini.

Taiwan melalui kemodenan pantas apabila mempunyai rangkaian kereta api laju dengan perjalanan dari Stesen Zuoying, Kaohsiung ke Taipei sejauh 345 kilometer meter mengambil masa 96 minit dengan kelajuan sekitar 300 kilometer sejam.

Malah, sistem pengangkutan yang mula dibina sekitar 2000 itu menjadi perkhidmatan pilihan dalam kalangan rakyat Taiwan kerana menjimatkan masa.

Perjalanan kami sebenarnya tidak lengkap jika tidak menaiki Menara Taipei 101 yang satu ketika dulu menjadi bangunan tertinggi di dunia. Namun, nasib kami kurang baik berikutan hujan me­nyebabkan kawasan sekitarnya berkabus, sekali gus tidak dapat menikmati pemandangan sekitar bandar raya Taipei.

Bangunan pencakar langit setinggi 500 meter ini memiliki lif terpantas apabila kami menjejakkan kaki ke balai cerap terletak di tingkat 89 dalam tempoh kurang seminit. Uniknya, wujud bandul besi terbesar di dunia di tingkat 88 dengan kegunaannya untuk menstabilkan bangunan.

Ini disebabkan Taiwan antara negara yang dilanda bencana seperti taufan dan gempa bumi, dan diakui sepanjang berada di tingkat 89 terasa bergoyang akibat ditiup angin, namun perasaan takut diketepikan bagi merasai pengalaman yang sukar diperoleh.

Sebenarnya, tiada masalah besar untuk melancong ke Taiwan, namun sikap prejudis menjadikannya sukar. Paling penting, mereka yang bercadang ke negara ini perlu mendapatkan buku Melancong Ke Taiwan Untuk Muslim terbitan Biro Pelancong Taiwan yang menyenaraikan restoran dan hotel makanan halal.

Wujud nama, alamat dan nombor telefon premis terbabit untuk kemudahan pelancong Islam, tambah pula ada enam masjid utama di lima bandar sekitar Taiwan, sekali gus bukan hala­ngan untuk berkunjung ke negara ini.

Cuma nasihat penulis, usah lepaskan peluang merayap di Pasar Malam Shilin di Taipei yang terkenal kerana pelbagai barangan sama ada pakaian, kasut, gajet dan kraftangan dijual pada harga rendah dan kawasan ini juga menarik untuk mencuci mata.

(Penulis mengikuti Muslim Media Familiarization Trip bersama Biro Pelancongan Taiwan dan AirAsia X)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM