ANTARA laman yang diselenggara dengan baik.
ANTARA laman yang diselenggara dengan baik.
Nurul Husna Mahmud


MEMILIKI laman berlatarkan rumput yang tumbuh sekata seperti permaidani menjadi impian kepada setiap pemilik kediaman.

Dalam mencapai laman rumput yang menghijau, sebenarnya terdapat beberapa aspek perlu anda ambil tahu.

Menurut Pengasas The Lawn Care, Ahmad Syafiq Syed Abu Bakar, rumput juga seperti tanaman landskap lain kerana memiliki jenis atau kriteria tersendiri dalam menentukan pertumbuhan yang baik.

Kegagalan mengenali atau mengetahui jenis rumput dikatakan antara punca menyebabkan pemilik atau peminat laman tidak berupaya memiliki hamparan rumput hiasan yang indah di laman masing-masing.

"Pemilik kediaman selalunya kurang arif mengenai jenis rumput. Mereka cuma tahu tekstur dan rupa diinginkan tanpa mengetahui kesesuaian rumput dipilih untuk laman.

"Setiap jenis atau spesies rumput tertentu memiliki ciri-ciri tersendiri dan kesesuaiannya bergantung kepada pencahayaan.

"Jika kediaman jenis Semi D dan kedudukan di bahagian tengah umpamanya, kemungkinan pencahayaan terhad. Andai itu yang berlaku rumput Filipina atau 'Philipines grass' bukanlah rumput sesuai untuk kediaman sedemikian.

"Salah satu keperluan penting rumput terbabit adalah terdedah kepada cahaya sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tumbuh dengan baik. Begitu juga dengan 'cow grass' yang memerlukan cahaya matahari tidak kurang dari lapan jam sehari.

"Biasanya untuk profil laman kediaman dengan pencahayaan kurang, kami sarankan rumput mutiara kerana hanya memerlukan lima jam sehari," katanya.

Untuk pengetahuan umum, rumput sering digunakan di laman kediaman ialah rumput mutiara, rumput karpet atau rumput Filipina, rumput Jepun dan Cow Grass.

Kata Ahmad Syafiq yang berpengalaman lebih tujuh tahun dalam kerja penanaman dan penyelenggaraan rumput hiasan, anda yang memilih rumput tidak sesuai dengan persekitaran rumah kemungkinan berdepan masalah rumput tidak tumbuh sekata serta jarang.

"Rumput yang cantik apabila tumbuh sekata dan rapat. Semua itu dapat dicapai andai rumput yang ditanam tidak bersaing untuk dapatkan sumber asas terutama cahaya.

"Selain itu, sangat penting juga sistem pembajaan dan juga siraman terutama untuk bulan pertama.

"Bulan pertama disarankan untuk siram setiap hari bagi mengelak 'kejutan' atau 'transfer shock' akibat perubahan tempat dan peralihan kawasan tanaman rumput.

"Rasionalnya di nurseri setiap hari rumput disiram untuk memastikan pertumbuhan yang sihat selain mengurangkan persaingan antara tumbuhan terbabit," katanya.

Seperti tanaman landskap lain, rumput juga memerlukan baja untuk tumbuh dalam keadaan baik.

Kata Ahmad Syafiq, dianggarkan keperluan baja adalah dua kilogram baja untuk laman dengan keluasan sekitar 93 meter persegi.

"Formulasi baja rumput biasanya khusus untuk tanaman itu sahaja dengan nisbah fosforus lebih rendah berbanding nitrogen dan kalium," katanya.

Tidak hanya itu, kata beliau lagi untuk mendapat rumput yang cantik, kerja menyelenggara seperti pemotongan rumput secara berkala adalah penting.

"Ramai juga tidak tahu kaedah terbaik dalam pemotongan rumput terutama penggunaan alat yang salah ketika memotong.

"Bagi rumput di kawasan laman atau rata sebaiknya menggunakan mesin rumput jenis tolak berbanding mesin pemotong rumput yang disandang pada badan.

"Mesin rumput jenis tolak matanya dilaras untuk potong sekata berbanding mesin rumput disandang yang kerap digunakan dalam kerja mencuci atau menyelenggara di kawasan tepi jalan," katanya.

Ahmad Syafiq juga menasihati mereka menggunakan mesin pemotong rumput supaya perlu juga merapi atau membersihkan peralatan sebelum menyelenggara rumput di laman kediaman.

"Ini bagi mengelak tumbuhan asing mencemari tanaman rumput. Andai itu berlaku akan ada kerja-kerja tambahan seperti merumput sehinggalah meracun untuk memulihkan tanaman rumput terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:00 AM