PERSEKITARAN halaman rumah dengan elemen semula jadi bantu beri ketenangan pada penghuni
PERSEKITARAN halaman rumah dengan elemen semula jadi bantu beri ketenangan pada penghuni
Fairul Asmaini Mohd Pilus

RUMAH yang memiliki landskap laman menarik bukan sahaja selesa untuk didiami, malah turut memberi banyak kelebihan kepada pemiliknya.

Dari segi nilai hartanah, kediaman yang menawarkan latar landskap menarik dikatakan bernilai lebih tinggi berbanding rumah dengan halaman tidak terjaga.

Dianggarkan, harga kediaman berlandskap menarik dijual sehingga 12 peratus lebih tinggi berbanding rumah biasa.

Selain itu, halaman kediaman yang dihiasi dengan landskap pepohon rimbun juga bukan sahaja lebih redup, malah dapat membantu mengurangkan bahang panas di sekitar rumah.

Ia membantu pemilik menjimatkan tenaga elektrik kerana bahang panas kurang terasa dan tidak perlu membuka kipas atau pendingin hawa sepanjang masa.

Dari segi psikologi pula, memiliki landskap menarik di halaman rumah juga dikatakan dapat membantu memberi ketenangan kepada penghuninya.

Kesibukan harian dan tekanan yang dialami ketika berada di pejabat boleh hilang jika dapat membelai bunga ataupun pokok tanaman lain di laman rumah pada hujung minggu.

LANDSKAP yang redup menyamankan suasana rumah.
LANDSKAP yang redup menyamankan suasana rumah.

Selain itu, ada juga kajian yang menyatakan bahawa landskap halaman rumah yang terjaga elok dapat membantu mengurangkan risiko jenayah.

Kajian pakar jenayah mendapati ada hubungan antara kadar jenayah dengan landskap kejiranan.

Mereka percaya persekitaran halaman kejiranan dan rumah yang usang, lusuh dan tidak terurus menaikkan dorongan kepada seseorang untuk melakukan jenayah.

Sementara halaman yang terurus dan dijaga rapi boleh menenangkan pemikiran dan mewujudkan rasa selamat yang boleh menurunkan risiko jenayah.

Justeru, dengan semua kelebihan itu, jangan biarkan halaman rumah anda terbiar tanpa dijaga.

Keluasan halaman bukan ukuran utama kerana tidak kira luas atau sempit, jika kena cara penataan, ia tetap kelihatan menarik.

Bagi yang masih mencari idea untuk menghiasi laman rumah, berikut adalah beberapa cadangan untuk dijadikan sebagai inspirasi:

KOLAM ikan koi yang menjadi pilihan ramai.
KOLAM ikan koi yang menjadi pilihan ramai.

1) Kolam atau air pancuran

Landskap halaman sememangnya tidak lengkap tanpa elemen air baik dalam bentuk kolam atau pancuran.

Terdapat banyak jenis kolam atau pancuran yang boleh dijadikan pilihan sesuai, namun ia perlu disesuaikan dengan keluasan halaman serta bajet.

Kolam ikan koi misalnya sesuai untuk mereka yang memiliki peruntukan lebih kerana harga seekor ikan itu memang mahal harganya.

Biarpun mahal, namun bagi yang mengutamakan kedudukan, kolam ikan koi paling sesuai untuk menghiasi halaman rumah.

Jika memiliki bajet terhad, kolam air pancuran biasa juga sudah memadainya kerana kos penjagaannya tidak terlalu tinggi.

Kolam air pancuran menjadi pilihan utama untuk landskap halaman rumah kerana bunyian air mengalir dapat memberi ketenangan kepada penghuninya.

BERHATI-hati dalam memilih jenis rumput tiruan supaya tidak timbul masalah penjagaan di kemudian hari.
BERHATI-hati dalam memilih jenis rumput tiruan supaya tidak timbul masalah penjagaan di kemudian hari.

2) Pemasangan rumput tiruan

Ramai yang memilih memasang rumput tiruan di halaman rumah bagi menjadikan kawasan itu lebih hijau dan mendamaikan.

Begitupun, berhati-hati dalam memilih jenis rumput tiruan supaya tidak timbul masalah penjagaan di kemudian hari.

Rumput tiruan jenis 'indoor' jangan sesekali dipasang di luar rumah kerana ia akan cepat rosak kerana terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan.

Sebaiknya, pilih rumput tiruan khas untuk 'outdoor' dan tahap ketebalan atau kelembutan bergantung kepada jenis serta harga.

Untuk cuaca Malaysia misalnya, antara jenis rumput yang menjadi pilihan ramai ialah 'Japanese carpet grass', 'Philippines carpet grass', 'cow grass' dan 'pearl grass'.

Masing-masing memiliki kelebihan dan kekurangannya dan terpulang kepada kehendak anda.

Rumput tiruan jenis 'cow grass' dan 'pearl grass' umpamanya dikatakan lebih murah dan tahan lasak, tetapi teksturnya lebih kasar.

Manakala 'Japanese carpet grass' dan 'Philippines carpet grass' pula lebih mahal dan perlukan penjagaan rapi, tetapi lebih lembut apabila dipijak selain tampak mewah.

Kelebihan utama rumput tiruan antaranya boleh menjimatkan air, tidak toksik, tiada risiko alahan selain selamat untuk haiwan peliharaan dan kanak-kanak.

Namun, kekurangannya apabila rumput itu ada risiko boleh rosak sekiranya terdedah kepada barangan panas dan bahang matahari.

ANTARA idea untuk menggunakan barangan kitar semula.
ANTARA idea untuk menggunakan barangan kitar semula.

3) Taman mini ala Bali

Konsep landskap ini sesuai bagi mereka yang gemarkan pepohon merimbun, arca hiasan, kolam pancuran, mahupun perabot kayu. Ia juga sesuai untuk semua jenis saiz halaman.

4) Gaya minimalis ala Scandinavia

Jika halaman rumah memiliki keluasan terhad dan anda juga mahukan landskap yang ringkas, konsep ini paling sesuai.

Gabungan pokok menjalar dengan permukaan konkrit dilengkapi set kerusi rehat atau meja makan berona semula jadi sudah mencukupi untuk menyerlah keindahan halaman kediaman anda.

5) Barang kitar semula

Banyak barangan yang tidak terpakai boleh dikitar semula untuk mencantikkan lagi halaman rumah.

Antara barangan yang boleh dikitar semula termasuk tayar, tin, botol plastik dan perabut lama.

Jadi, tunggu apa lagi, gunakan kreativiti dan panduan yang ada bagi menghasilkan pelbagai hiasan menarik untuk halaman rumah anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:00 AM