RUMAH mewujudkan landskap hijau di halaman rumah.
RUMAH mewujudkan landskap hijau di halaman rumah.
Muhamaad Razis Ismail


Halaman rumah adalah ruang penting yang perlu dititikberatkan supaya sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bersih oleh pemilik rumah.

Dari jauh, halaman rumah memainkan peranan penting untuk memberi gambaran awal berkenaan keadaan keseluruhan sesebuah rumah.

Selain menanam pelbagai jenis pokok, rumput adalah tumbuhan yang boleh dipertimbangkan untuk mewujudkan landskap hijau di halaman rumah.

Di negara ini ada tiga jenis yang biasa digunakan di halaman rumah iaitu rumput karpet (Zoysia matrella, Japonica, Tenuifolia), Cowgrass (Axonopus compressus) dan Pearl grass (Dwarf axonopus compressus).

Pengasas bersama Aiman Lawncare (ALC), Mohd Adib Anuar berkata, untuk memastikan rumput sentiasa cantik dan sihat penjagaan tumbuhan ini perlu dititikberatkan.

"Rumput yang tidak dijaga dengan baik kebiasaannya mengakibatkan rumput asing atau rumput liar tumbuh atas halaman kita.

"Masalah lain termasuk serangan ulat (army worm), serangan penyakit kulat ketika musim hujan seperti 'brown patch', 'large patch' dan 'dollar spot' serta peningkatan masalah lumut," katanya.

Katanya, ada beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam penjagaan rumput.

"Antaranya pemotongan rumput perlu dilakukan sendiri secara berjadual yang bertujuan mencantikkan halaman dan mengurangkan masalah rumput asing atau liar.

"Dengan pemotongan yang betul, laman kita dapat mengawal masalah jerami berlebihan, sekali gus mengurangkan risiko serangan ulat dan penyakit.

"Anda perlu luangkan masa melihat laman supaya peka dengan kehadiran rumput liar, ulat dan kulat. Sekiranya ada masalah rumput liar atau asing boleh 'merumpai' secara manual atau menggunakan racun rumpai jenis selektif.

"Pada masa sama, anda dinasihatkan menggunakan mesin tolak supaya pemotongan rumput menjadi lebih sekata" katanya.

Menurutnya, selain itu, rumput disiram apabila perlu sahaja memandangkan negara kita mempunyai taburan hujan yang tinggi.

"Kesilapan terlebih siram pada sebelah petang atau malam boleh mengakibatkan rumput sangat mudah terkena serangan penyakit," katanya.

Mohd Adib berkata, penggunaan baja yang betul amat penting supaya rumput boleh hidup dengan subur.

"Perlu diketahui bahawa baja rumput dan baja pokok tidak sama. Rumput mudah terbakar sekiranya diberikan baja pokok dengan cara tidak tepat.

"Anda boleh memilih baja dari kategori 'slow released' dan 'control released' adalah sangat baik untuk kesihatan rumput," katanya.

Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang menyediakan perkhidmatan penjagaan laman secara profesional menasihatkan untuk menanam dan menguruskan sendiri rumput di halaman rumah, pemilik perlu mempunyai minat, kecekalan dan kesabaran yang tinggi.

"Menguruskan benda hidup, ada pasang surutnya kerana ia sangat berkait rapat dengan cuaca dan keadaan sekeliling. Dapatkan bantuan dari yang mahir sekiranya ada sebarang masalah rumput laman.

"Kami juga sedia memberikan khidmat nasihat secara percuma kepada pemilik laman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 6:30 AM