RAK buku turut menjadi pemisah ruang.
RAK buku turut menjadi pemisah ruang.
Nurul Husna Mahmud


FUNGSI rak buku bukan sekadar ruang penyimpanan bahan bacaan semata-mata. Kini fungsinya dipelbagaikan termasuk sebagai tempat meletakkan aksesori bagi tujuan menambah keceriaan ruang.

Tidak hairanlan berdasarkan fungsi itu, rak buku antara perabot yang penting dan ada di setiap rumah.

Peranan itu menjadikan rekaan rak buku dipelbagaikan selari dengan cita rasa, konsep ruang dan ksesuaiannya.

Berikut beberapa idea rak buku yang boleh dijadikan contoh untuk membantu kediaman anda tampak lebih menarik:

1.Rak buku konsep klasik atau tipikal

Kebiasaannya rak buku dengan gaya klasik atau rekaan tipikal menjadi pilihan kerana ia dianggap penataan lebih selamat.

Meskipun bentuk segi empat yang sama dan mempunyai para atau perincian seperti pintu kaca atau gelungsur, rekaan buku ini sesuai untuk mereka yang mahukan gaya ruang lebih ringkas serta minimalis.

Cumanya perlu tahu saiz sesuai mengikut fungsi dan ruang supaya rak berkenaan dapat digunakan secara optimum.

2.Rak buku bentuk pokok

Bagi mereka yang suka pemikiran di luar kotak, gaya rak buku berbentuk pokok antara idea unik memberi nilai tambah kepada ruang yang menempatkan perabot berkenaan.

Kebiasaannya rekaan ini lebih sesuai pada rak buku untuk ditempatkan pada dinding utama.

Ini membantu meningkatkan fungsi selain menjadi tempat buku disimpan, ia melengkapkan perincian hiasan pada dinding terbabit.

Serikan lagi dengan penataan lampu supaya menjadikan ruang terbabit lebih menonjol dan unik.

3.Rak buku menggunakan barang atau perabot lama

Pemilik kediaman yang gemarkan elemen 'hipster' pasti tidak takut tampil kreatif apabila menggunakan barang lama dan terpakai untuk dijadikan rak buku.

Bukan sahaja dapat menyuntik 'mood' berbeza bagi ruangan membaca, malah rak yang diubah suai daripada barang lama dan terpakai juga mampu memberi daya penarik.

Contohnya piano lama yang tidak lagi boleh digunakan atau menelan belanja tinggi ketika proses membaik pulih, boleh ditukar menjadi rak dengan sedikit kreativiti.

Begitu juga tab mandi lama atau perabot kayu antara barang lama yang boleh diubah menjadi rak buku unik sekali gus menceriakan ruang membaca.

4.Rak buku dengan menggunakan kotak

Tidak semestinya menggunakan barang terpakai yang bersaiz besar atau lama, kotak kayu murah dan bajet ekonomi juga boleh dijadikan rak buku menarik.

Sama ada disusun teratur di bawah atau boleh dipasang pada dinding. Ia bergantung kepada konsep dan tatahias ruang yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 6:46 AM