RUANG tamu yang tidak sarat tetapi unik. FOTO: Syahnaz Khariul Anwar
RUANG tamu yang tidak sarat tetapi unik. FOTO: Syahnaz Khariul Anwar
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

KALAU sudah kreatif, 'campaklah' segala jenis bahan pasti menyerlah keindahan sesebuah kediaman. Perkara itu yang terlintas di fikiran penulis sebaik sahaja melangkah masuk ke kediaman dua tingkat berkeluasan kira-kira 1,500 kaki persegi ini.

Uniknya boleh dikatakan hampir 60 peratus perabot di kediaman milik keluarga Syahnaz Khariul Anwar dan suaminya itu bukan perabot yang baharu tetapi barangan terpakai yang sedikit pun tidak kelihatan sebenarnya ia dari kedai lusuh. Menarik bukan?

Kebiasaannya, sebagai pemilik kediaman baharu pastinya mengidamkan sebuah konsep serba baharu untuk penataan.

Tetapi bukan itu yang dilakukan pasangan berkenaan sebaik memiliki kediaman yang terletak di Shah Alam, Selangor pada 2010.

Sebaliknya mereka lebih berminat untuk menzahirkan penataan ruang dalaman yang lebih ekonomi atau dalam kata lain tidak perlu berbelanja besar bagi membeli kelengkapan rumah.

"Ternyata minat suami itu menjadikan ruang dalaman ini menarik apabila melihat keserasian antara perabot lama, aksesori dan susun aturnya menjadikan kediaman kami nampak unik kerana terdapat elemen klasik sinonim dengan malar segar.

SIMBOL M dan B mempunyai maksud tersendiri di kediaman Syahnaz.
SIMBOL M dan B mempunyai maksud tersendiri di kediaman Syahnaz.

KAYU landasan kereta api terbuang dijadikan rak di ruang rehat keluarga.
KAYU landasan kereta api terbuang dijadikan rak di ruang rehat keluarga.

"Tambahan, ketika kami membeli barangan seperti perabot, rak pelbagai guna, meja kopi waima beberapa set sofa yang dibeli dari kedai terpakai dahulunya harga memang amat berpatutan dan kini jika kembali ke kedai itu, harga jualannya jauh lebih mahal dari perabot baharu," katanya.

Rona 'moody blue' yang menjadi latar dinding digabung serasi warna asli iaitu coklat dan putih di dalam kediaman terutama pada bahagian ruang tamu mampu menonjolkan suasana klasik.

Antara yang menarik perhatian penulis ketika mengunjungi kediaman berkenaan ialah kreativiti suaminya untuk menjadikan beberapa perabot yang fungsi asalnya ditukar hasil sentuhan bapa kepada dua anak itu.

Misalnya, kaki kerusi meja solek lama digabungkan dengan bingkai kayu 'diy' untuk diubahsuai menjadi laci yang menonjolkan karakter unik beg bimbit klasik.

Tidak sekadar itu, suami Syahnaz itu juga menjadikan 'sisa' kayu yang biasanya terdapat di rel kereta api sebagai rak meletakkan pelbagai bahan hiasan yang ringkas tetapi cantik di ruang tamu.

KREATIVITI pasangan 2 anak ini terserlah dalam dekorasi kediaman dihiasi barangan terpakai bermutu tinggi
KREATIVITI pasangan 2 anak ini terserlah dalam dekorasi kediaman dihiasi barangan terpakai bermutu tinggi

LUKISAN yang dihasilkan anak-anak dibingkaikan di dinding ruang makan.
LUKISAN yang dihasilkan anak-anak dibingkaikan di dinding ruang makan.

RUANG kerja suami yang selesa dan santai.
RUANG kerja suami yang selesa dan santai.

Malah, penulis melihat terdapat dua lukisan abstrak di ruang makan yang mulanya menjangkakan ia dibeli dari kedai lukisan tetapi sebenarnya kedua-dua lukisan itu adalah hasil sentuhan anak-anak mereka ketika berusia tujuh dan empat tahun. Unik bukan?

Syahnaz berkata, idea awal menjadikan barangan antik untuk hiasan di dalam kediaman mereka kerana ia mampu menimbulkan suasana tenang ketika berada di dalam rumah.

"Malah, perabot antik ini juga sebenarnya lebih tahan lasak kerana bahan yang digunakan tanpa campuran bahan-bahan lain. Sebab itu perabot lama ini lebih berat tetapi tahan lasak dan lama boleh dipakai," katanya.

Hasil sentuhan Syahnaz dan suaminya, mereka juga pernah dinobatkan sebagai juara dalam satu rancangan realiti televisyen menghias kediaman pada sekitar 2017.

ANTARA kerusi antik diletakkan di bilik kerja suami.
ANTARA kerusi antik diletakkan di bilik kerja suami.

KAKI kerusi meja solek dan para digabungkan menjadi rak mengisi beg bimbit lelaki.
KAKI kerusi meja solek dan para digabungkan menjadi rak mengisi beg bimbit lelaki.

Di ruang tamu itu, kelihatan dekoratif foto-foto bersaiz kecil keluarga sebagai sebuah kolaj yang dibingkaikan menonjolkan ikatan kekeluargaan yang begitu kuat dalam ahli keluarga mereka.

Diberi kesempatan untuk masuk ke ruang kerja suaminya juga membuatkan penulis berasa teruja kerana pasangan itu bijak menjadikan ruang berkenaan seakan-akan berada di sebuah pejabat era seniman P Ramlee kerana terdapat perabot antik, gitar dan paling penting ia tidak begitu sarat.

Ketika berada di dalam ruang tamu kediaman itu, penulis bertanya Syahnaz mengenai simbol B dan M yang jelas kelihatan diletakkan di dinding sebelum ke dapur.

Jelasnya, ia dipamerkan di sudut tertentu sebagai simbol tugas serta peranan 'Bapak' dan 'Mak' yang tersendiri dalam kediaman keluarganya.

"Paling penting dalam menghias kediaman yang saya pelajari daripada suami ialah kita perlu bijak bermain imiginasi susun atur dan menghargai nilai sesuatu barangan itu yang sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri. Apatah lagi, ia sesuatu yang sukar untuk didapati pada hari ini," katanya mengakhiri perbualan.

GABUNGAN serasi mesin taip lama dan lampu meja menonjolkan suasana klasik.
GABUNGAN serasi mesin taip lama dan lampu meja menonjolkan suasana klasik.

RAK sisa rel kereta api
RAK sisa rel kereta api

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:00 AM