BUNDLE Ayoasia menampilkan pelbagai jenis rak kasut yang ditempah khas menggunakan material kayu palet.
BUNDLE Ayoasia menampilkan pelbagai jenis rak kasut yang ditempah khas menggunakan material kayu palet.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Ingin menepis pandangan orang ramai terhadap barangan bundle, Roslan Mat Arof, 32, mencipta konsep dekorasi rustik yang berpadanan dengan produk vintaj bagi mewujudkan suasana eksklusif.

Diinspirasi daripada seni bina dan dekorasi rumah kampung, kedai barangan terpakai di Kilang Bateri, Johor Bahru, Johor ini ternyata mencuri perhatian.

Dari siling hingga ke lantai, Roslan selaku pemilik Bundle Ayoasia menzahirkan setiap idea menggunakan kayu sebagai material utama.

“Produk bundle yang ditawarkan adalah barangan premium jadi, hiasan dalaman kedai ini perlu seiring supaya produk nampak eksklusif.

“Saya pilih kayu sebagai material utama kerana ia lebih berpadanan dengan produk ‘rare’ dan vintaj selain dapat menzahirkan suasana santai tapi elegan,” katanya.

Kedai berkeluasan 365 meter persegi itu dibahagikan kepada tiga ruang berbeza dan setiap ruang menampilkan fungsi dan susun atur berbeza.

KONSEP hiasan dalaman yang diinspirasi dari rekaan rumah kampung ternyata mencuri perhatian pengunjung.
KONSEP hiasan dalaman yang diinspirasi dari rekaan rumah kampung ternyata mencuri perhatian pengunjung.

“Pintu masuk kedai turut menampilkan pintu dengan jendela seperti rumah kayu lama. Saya mahu pengunjung rasa seperti tetamu bertandang ke rumah.

“Melepasi pintu masuk utama adalah ruangan utama atau ruang tamu yang mempamerkan pelbagai jenis kasut dengan jumlah yang banyak. Rak kasut pula direka seperti rak kasut gergasi dan semua kasut disusun secara rapat,” katanya.

Menapak lebih mendalam, pengunjung pasti melalui gerbang bujur yang memisahkan ruang utama dengan ruangan kedua.

“Pada ruang kedua ini, saya selitkan rekaan rak kasut unik dan tersendiri kerana kasut yang disusun pada ruangan ini mempunyai nilai lebih tinggi,” katanya.

Roslan turut mereka bentuk ruang kasut berbentuk heksagon gergasi yang diletak pada satu bahagian dinding sebagai titik tumpu.

Pada ruangan itu juga, pemilik mengetengahkan rak kasut empat segi sama bagi mempamerkan kasut secara tunggal.

Namun, ruang ketiga atau digelar ‘kamar tidur’ itu menempatkan koleksi kasut istimewa dengan harga paling tinggi.

“Hanya kasut terpilih dipamerkan di ruangan ini jadi setiap pasang kasut dipamerkan secara tunggal dengan setiap satu memiliki rak tersendiri,” katanya.

Mula beroperasi sejak awal 2016, kebanyakan h iasan dalaman Bundle Ayoasia termasuk rak kayu yang ditempah khas, kemasan lantai serta dinding diperbuat daripada kayu palet.

SAARANI pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Bangunan Dato Onn, PWTC. FOTO Aswadi Alias
SAARANI pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Bangunan Dato Onn, PWTC. FOTO Aswadi Alias

Menariknya, Roslan turut menyusun kayu palet pada bahagian siling bagi menampakkan seperti lantai tingkat atas rumah kampung.

“Rumah kampung lama lazimnya mempunyai dua tingkat dan biasanya tingkat atas adalah kediaman manakala tingkat bawah sering dijadikan ruang perniagaan kecil-kecilan.

“Saya ingin wujudkan nostalgia itu jadi, saya turut susun kayu palet pada bahagian siling. Ia juga bagi menampakkan keharmonian pada keseluruhan ruang,” katanya.

Lampu pelita yang menerangi keseluruhan kedai turut menyuntik kelainan selain turut menaikkan suasana klasik.

Menurut Roslan, lampu istimewa itu dibeli ketika kunjungan ke Bangkok, Thailand.

Selain lampu, jam dinding dengan rekaan unik turut diimport dari India kerana rekaannya dilihat bertepatan dengan keseluruhan konsep.

Papan tanda kedai turut menggunakan kayu hutan yang diukir dan ditempah khas dari pengeluar perabot di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:03 AM