PENJAGA gol Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin mengeluarkan bola ketika diasak pemain Penang FC pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
PENJAGA gol Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin mengeluarkan bola ketika diasak pemain Penang FC pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tindakan pengadil tidak menyemak video bantuan pengadil (VAR) ketika membatalkan jaringan pemain Terengganu FC, Manuel Ott yang dikesan ofsaid mungkin disebabkan masalah teknikal yang tidak dijangka berlaku ketika perlawanan sedang berlangsung.

Justeru, keputusan pengadil meneruskan aksi dan tidak memaklumkan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat kerana tugas untuk memaklumkan masalah sistem VAR bukanlah tanggungjawab pengadil sebaliknya ia perlu dijelaskan oleh komisioner perlawanan.

Perkara teknikal itu dikongsikan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berpandangan wujud dua situasi berbeza iaitu terancang dan tidak terancang.

Katanya, keadaan terancang adalah apabila masalah teknikal babitkan VAR diketahui lebih awal sebelum perlawanan bermula dan pihak komisioner perlawanan akan membuat pengumuman bahawa aksi terbabit tidak akan menggunakan sistem itu.

Tetapi jelasnya, jika situasi tidak terancang, masalah boleh berlaku secara tiba-tiba ketika perlawanan berlangsung di mana VAR tidak berfungsi dan secara automatik pengadil perlu mengadili perlawanan tanpa VAR atau lebih tepat kembali kepada asas pengadil.

"Mungkin ketika situasi perlawanan, VAR tiba-tiba tidak dapat berfungsi jadi pengadil perlu mengadili aksi tanpa bantuan VAR. Jadi mungkin sebab itu, mereka tidak menyemak VAR kerana sistem itu tidak dapat berfungsi.

"Malah, bukan tugas pengadil untuk memaklumkan kepada sesiapa berkenaan masalah VAR itu kerana perlawanan tetap harus diteruskan seperti biasa apabila VAR tidak berfungsi. Takkan disebabkan VAR tak boleh digunakan, perlawanan kena dihentikan.

"Apa yang dilakukan pengadil itu tepat di mana dia meneruskan aksi mengikut asas pengadilan yang ada. Malah, pengadil juga tidak perlu memaklumkan apa-apa kepada jurulatih mahupun pemain berkenaan masalah VAR kerana ia boleh mengganggu fokus pengadil untuk mengadili aksi itu.

"Komisioner perlawanan boleh memaklumkan perkara itu kepada penyokong dengan membuat pengumuman di stadium, tapi bukan pengadil," katanya Ketua Tenaga Pengajar Pengadil dan Penasihat Pembangunan Pengadil Persatuan Bolasepak Korea (KFA) itu ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner meluahkan rasa hairan apabila tidak dapat menyemak VAR bagi mengesahkan gol Ott yang dikatakan berada pada kedudukan ofsaid pada aksi bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Ahad lalu.

Ketua Jurulatih berusia 57 tahun itu berpandangan berlaku beberapa situasi yang dianggap ganjil sehingga VAR itu tidak dapat disemak dan tidak memahami mengapa pihaknya hanya mengetahui masalah itu selepas 20 minit gol itu tidak dapat disahkan.

Ujar Subkhiddin lagi, masalah VAR yang berlaku ketika perlawanan boleh diatasi oleh juruteknik dan ia mungkin boleh digunakan semula.

"Masalah teknikal ini kadang-kadang boleh berlaku secara tiba-tiba, macam saya katakan tadi masalah tak terancang.

"Bila masalah itu ada, mungkin ia boleh dibaiki dan kembali digunakan. Pengadil di bilik kawalan VAR akan sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan pengadil di tengah padang.

"Jadi jika VAR tiba-tiba gagal berfungsi, di situlah pengadil perlu kembali mengadili perlawanan tanpa bantuan VAR dengan perlu membuat keputusan yang dianggap betul dan tepat. Malah, keputusan pengadil adalah muktamad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:38 PM