REKA bentuk Taman Awam Pudu Ulu Fasa Dua dipastikan penuhi keperluan pengunjung.
REKA bentuk Taman Awam Pudu Ulu Fasa Dua dipastikan penuhi keperluan pengunjung.
Nurul Husna Mahmud


BANDAR sejahtera bukan sekadar dinilai kepada ‘kebanjiran’ bangunan tinggi dan kepesatan ekonomi semata-mata, sebaliknya nilai bandar mampan menjurus kepada keperluan sosial penduduk menerusi pembangunan fasiliti termasuk dalam projek landskap taman awam di ibu kota seperti Kuala Lumpur.

Ketika ini pembangunan kediaman khususnya warga kota dilihat memberi sinergi kepada landskap bandar namun tidak lupa menyeimbangkan elemen sosio dengan menggalakkan integrasi antara penduduk.

Ini bermakna, taman awam antara infrastruktur terpenting dalam menjadikan ibu kota terutama Kuala Lumpur sebagai bandar berdaya tahan.

MAMPU memberi pemandangan berbeza pada landskap di sekitar Jalan Semantan (1).
MAMPU memberi pemandangan berbeza pada landskap di sekitar Jalan Semantan (1).

Melihat kepentingan itu, pembangunan Taman Awam Pudu Ulu Fasa Dua yang siap pada 2017 lalu dilihat sebagai contoh taman awam yang baik direka sepenuhnya Arkitek Kanan Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Amri Adam.

Berbanding projek taman awam terdahulu yang banyak menggunakan khidmat pereka luar, ternyata kualiti dan rekaan ditampilkan arkitek profesional juga bertaraf dunia.

Apatah lagi beliau adalah penerima Anugerah Arkitek Landskap Muda menerusi Malaysia Landscape Architecture Award (MLAA) ke-11 anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), baru-baru ini.

Beliau diberi kepercayaan untuk mereka bentuk landskap Taman Awam Pudu Ulu Fasa Dua itu berikutan kejayaan projek Semantan Exchange iaitu landskap dengan konsep kontemporari di pintu masuk ke Kuala Lumpur dari zon utara.

“Satu penghormatan apabila DBKL memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mereka sendiri landskap taman yang berkeluasan 13.35 hektar itu.

“Tidak dinafikan ia satu tugas mencabar kerana saya perlu pastikan rekaannya sepadan dengan struktur taman yang sedia ada.

BUNGA menghiasi landskap taman.
BUNGA menghiasi landskap taman.

“Fasiliti lama seperti trek larian dan wakaf sudah terlalu uzur dan tidak berada dalam keadaan memuaskan. Malah boleh saya katakan keadaan fasiliti Taman Ulu Pudu lama tidak lagi sesuai dan selamat untuk digunakan penduduk.

“Apa saya lakukan dalam pelan landskap fasa kedua taman awam ini, saya naik taraf fasiliti sedia ada iaitu trek larian supaya berhubung dengan trek baru. Selain, pagar utama berkonsepkan elemen kontemporari dan pembinaan plaza utama lengkap dengan binaan struktur berkanopi sesuai untuk acara riadah seperti zumba atau senamrobik,” katanya.

Kedudukan taman berkenaan cukup strategik apabila dikelilingi perumahan dan sekolah membuatkan keperluan menaik taraf taman itu cukup penting terutama dalam rekaan bagi memastikan ia memenuhi keperluan pengunjung sekitarnya.

“Isu terbesar komuniti sekitar Taman Rekreasi Ulu Pudu ialah kediaman sekitarnya terdiri daripada penduduk kumpulan B40 iaitu daripada golongan sederhana sehinggalah kepada kos rendah.

PENGUNJUNG dapat melihat unsur lingkaran yang menarik dari bawah menara tinjau berkenaan.
PENGUNJUNG dapat melihat unsur lingkaran yang menarik dari bawah menara tinjau berkenaan.

“Mereka ini tinggal di kawasan rumah bertingkat dan kekurangan tanah untuk beriadah mahupun dijadikan taman awam. Oleh itu, penting dalam rekaan taman ini untuk melangkaui semua kumpulan penggunanya.

“Daripada anak kecil sehinggalah ke warga emas berpeluang menggunakan fasiliti sedia ada. Paling menonjol dalam rekaan taman awam ini apabila turut dimuatkan kemudahan kolam mandi untuk kanak-kanak bermain air di sini.

“Kolam mandi ini pertama dibina seumpamanya di taman awam di Kuala Lumpur. Saya rasa ia tarikan utama pengunjung ke sini saban minggu,” katanya.

Menjelaskan identiti kata Khairul Amri, konsep rekaannya lebih moden dan kontemporari.

“Biarpun ia taman awam, saya masih letakkan elemen estetika sebagai perincian dan pengenalan terhadap rekaan saya itu.

PEMANDANGAN dari atas Menara Camp Adventure dikelilingi kehijauan.
PEMANDANGAN dari atas Menara Camp Adventure dikelilingi kehijauan.

“Seperti dalam rekaan Semantan Exchange, arca berbentuk bola merah dan moden diletakkan di sudut serta posisi tertentu. Ini memberi idea bahawa konsep kontemporari dan tidak semata-mata memfokuskan kepada tanaman hijau serta struktur tulisan semata-mata,” katanya.

Menyentuh perancangan masa depan, Khairul Amri turut bergerak aktif dalam kegiatan komuniti itu menyifatkan impian mewujudkan taman poket di lokasi tertentu antara usaha yang ingin dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk sekitar.

“Cabaran untuk Kuala Lumpur bagi arkitek landskap ialah kekangan tanah dalam pada masa sama perlu wujudkan kawasan hijau demi lestarikan bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:01 AM