LAr Muhamad Zaedi. FOTO Halim Salleh
LAr Muhamad Zaedi. FOTO Halim Salleh
Aniza Zainudin

Adiwira penyelamat bumi pada masa depan!

Landskap yang mesra bencana dan tahan lasak antara elemen utama yang sering dipertimbangkan LAr Muhamad Zaedi Mohd Asri dalam memberi sentuhan.

Menerima realiti bahawa manusia tidak mampu menghalang kejadian bencana alam, Pengarah Urusan Larz Associates Sdn Bhd ini menganggap setiap perincian reka bentuk landskap tidak saja berasaskan keindahan, bahkan isu keselamatan, pencahayaan dan daya serapan kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Saya ingin memperjuangkan isu kesedaran alam dalam landskap.

“Sebelum melakukan proses seni bina landskap, kita perlu melakukan kajian dan kejadian pernah melanda di satu-satu lokasi.

“Melalui kaedah ini, landskap yang dihasilkan tidak memberi impak tambahan kepada masalah bencana alam seperti sebelum ini.

“Sebaiknya, setiap landskap dan perincian dipilih boleh disesuaikan dengan bencana alam yang memang tidak boleh dihalang daripada berlaku.

“Tidak dinafikan kerakusan manusia antara punca berlakunya pencemaran dunia hari ini.

“Jadi, saya berharap menerusi landskap, kehidupan manusia menjadi lebih berkualiti dengan konsep mengutamakan penyerapan karbon dioksida dan meningkatkan oksigen melalui penanaman pokok yang tepat,” katanya ketika ditemui.

INGIN menyumbang kepada masyarakat dan industri. FOTO Sairien Nafis
INGIN menyumbang kepada masyarakat dan industri. FOTO Sairien Nafis

Menceburi dunia perniagaan sebaik mendirikan rumah tangga pada 2014, lelaki berusia 29 tahun ini mengharungi jatuh bangun sepanjang perjalanan kerjayanya.

Mengakui usia masih mentah dalam selok-belok berniaga, dia memulakan langkah tanpa perancangan strategik dan terbukti apabila pelbagai kerja dilakukan serentak.

Berjuang bersama isteri, lelaki ini pernah terbabit dengan projek penghasilan ilustrasi perspektif tiga dimensi, pelan projek pembangunan, reka bentuk, pembinaan dan pelbagai lagi.

Dua tahun pertama, pasangan ini diuji apabila berdepan dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, malah gagal menerima bayaran projek meskipun sudah diselesaikan.

MASIH belajar selok-belok perniagaan. FOTO NSTP
MASIH belajar selok-belok perniagaan. FOTO NSTP

Muhamad Zaedi juga mempelajari ilmu baru bahawa kepandaian seseorang dalam satu bidang bukanlah jaminan mencapai kejayaan serupa dalam bidang berbeza, terutama tanpa ilmu.

Justeru, pasangan ini mengambil inisiatif mengikuti kelas perniagaan dan kembali fokus pada bidang yang menjadi kepakaran mereka, rundingan landskap sejak tiga tahun lalu.

Menghasilkan landskap bagi taman awam di Kuala Krai dan Tumpat, Kelantan, di bawah Jabatan Landskap Negara, tahun lalu, dia bertanggungjawab mengubah persepsi masyarakat terhadap taman awam.

TURUN padang pastikan kelancaran projek. FOTO NSTP
TURUN padang pastikan kelancaran projek. FOTO NSTP

“Selalunya komuniti beranggapan taman awam mempunyai reka bentuk dan landskap yang tidak mengikut trend.

“Ia bukan mengenai reka bentuk landskap saja, bahkan manfaat kepada pengguna akhir.

“Satu kejayaan buat kami apabila reka bentuk landskap dihasilkan dapat digunakan dengan baik.

Ini bererti mereka menyukai sentuhan landskap, seterusnya mengubah pemikiran dan tindakan dalam menjaga taman seperti kepunyaan mereka.

“Apabila pengguna berasa puas, sayang dan menganggap ia kepunyaan mereka, pasti mereka menjaga taman serta fasiliti tersedia dengan lebih baik,” katanya.

MENANGI Anugerah Perak untuk Landscape Architect Garden Display Competition sempena Pameran Orkid dan Bonsai pada Disember 2017. FOTO NSTP
MENANGI Anugerah Perak untuk Landscape Architect Garden Display Competition sempena Pameran Orkid dan Bonsai pada Disember 2017. FOTO NSTP

Tidak lokek berkongsi sejarah diri, Muhamad Zaedi berterima kasih kepada ibu bapa yang memandang enteng terhadap permintaannya untuk meninggalkan pengajian Seni Bina Landskap ketika tahap diploma.

“Memiliki latar belakang pendidikan dalam kejuruteraan, saya lihat bidang seni bina landskap agak sukar apabila perlu menghasilkan lukisan bebas bukannya berasaskan kejuruteraan.

“Pemilihan bidang ini juga adalah saranan bapa yang turut berkhidmat sebagai perancang bandar. Apabila saya menyatakan hasrat untuk berhenti belajar, mereka tidak mengendahkan keputusan saya.

“Susulan daripada itu, saya terpaksa meneruskan dan menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Apabila saya terpilih mengetuai kontinjen UiTM Perak bagi program tahunan Assembly of Landscape Architecture Student Malaysia (ALAM) pada 2008 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saya mula menyedari wujudnya bakat kepimpinan dalam diri.

“Kemenangan dalam menghasilkan arca mesra alam berkonsepkan kitar semula dalam program berkenaan membuatkan hati saya semakin dekat dengan dunia seni bina landskap,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik ini.

TERIMA pengiktirafan. FOTO NSTP
TERIMA pengiktirafan. FOTO NSTP

Menitipkan inspirasi kepada generasi pelapis, lelaki ini berkata, anak muda perlu fokus dan berani melakukan sesuatu serta keluar dari zon selesa bagi membolehkan mereka menggapai impian masing-masing.

Yakin sedikit keberanian dianugerahkan Allah kepadanya untuk mencuba, Muhamad Zaedi mengakui tanpa tindakan dan rasa takut akan membataskan kemampuan seseorang sekali gus berada di takuk yang sama.

Ujarnya, perkataan ‘kalau’ berbentuk andaian sudah cukup membuatkan manusia berasa takut untuk bertindak, justeru individu perlu memilih persekitaran positif sebagai dorongan.

BERSAMA keluarga. FOTO NSTP
BERSAMA keluarga. FOTO NSTP

“Keberanian saja tidak mencukupi, ia memerlukan kita bertindak.

“Sebagai generasi pemimpin masa depan, tenaga, idea, keberanian anak muda sangat diperlukan.

“Dunia bukan seperti dulu, ia sudah berubah. Jadi, kita perlu bergerak secara progresif dalam apa juga bidang dan fokus demi meraih kejayaan.

“Merujuk sumbangan orang muda dalam landskap, saya berpendapat kita seharusnya menyumbang kembali kepada industri.

“Seperti saya yang mendapat sokongan daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), saya perlu memberi kembali pada industri menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman bersama generasi pelapis khususnya mahasiswa,” katanya mengakhiri pertemuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:01 AM