Nurul Husna Mahmud


DUA arkitek Denmark, Sine Lindholm dan Mads-Ulrik Husum menghasilkan rekaan kotak tanaman Growmore yang boleh diubah suai reka bentuknya bagi mewujudkan taman mini atau ladang kecil di bandar.

Kedua-dua arkitek berkenaan yang juga pemilik studio arkitek Husum & Lindholm membangunkan kit model taman yang boleh dipasang dan disambung.

Ia dilihat dapat membantu komuniti kebun bandar membina taman tiga dimensi dengan mudah di kediaman atau bangunan.

Lindholm menyatakan, idea asal membina kit model Growmore itu berpandukan teknologi rekaan yang mudah dan praktikal untuk dibina komuniti atau pekebun bandar.

MENARIK perhatian orang ramai.
MENARIK perhatian orang ramai.

BERBENTUK jam pasir.
BERBENTUK jam pasir.

SUSUNAN menegak.
SUSUNAN menegak.

LINDHOLM menyusun tanaman.
LINDHOLM menyusun tanaman.

“Sebagai arkitek, kami perlu memperkenalkan teknologi terbaru. Seawal projek bermula, kami mencari reka bentuk yang dapat difahami orang ramai supaya mereka boleh membina struktur itu sendiri.

“Konsep yang kami perkenalkan ini tiada bezanya dengan sistem permainan lego dilengkapi kotak tanaman bersaiz standard, para dan aksesori pelaras.

“Bahagian ini boleh disambung dan berputar secara melintang atau menegak. Ciri utama rekaan ialah fleksibel dan ia memberi kelebihan kepada pemiliknya untuk mereka apa saja bentuk diinginkan,” katanya.

Rekaan itu diperkenalkan dalam Pameran Seoul Architecture Biennale tahun lalu selain dicetuskan menerusi inisiatif bersama IKEA’s Innovation Lab Space10 dalam projek Growroom membabitkan rekaan taman berbentuk melengkung ketika CHART Art Fair di Copenhagen, Belanda dan IKEA Festival di Milan Itali 2016.

Menurut Lindholm, pengguna atau pemilik kotak tanaman itu boleh meletakkannya di luar atau dalam bangunan.

Di samping menjadi pemisah ruang, rekaan berkenaan turut memberi nilai tambah kepada sistem pengudaraan dalam bangunan.

Dalam demonstrasi model terbabit, tiga bentuk diperkenalkan iaitu seperti potongan silinder, jam pasir dan rawak.

Selain mencantikkan landskap sekitar, ia turut membantu pembangunan sosial kebun tanaman makanan atau struktur pondok untuk komuniti bersantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:16 AM