LAMPU tidur juga datang dalam pelbagai koleksi dan tema yang boleh anda suai padan.
LAMPU tidur juga datang dalam pelbagai koleksi dan tema yang boleh anda suai padan.
Faizal Zain

Salam deko kepada semua. Seperti yang dijanjikan bertemu kita lagi di dalam kolum Inspirasi Deko untuk menyambung ulasan berkenaan hiasan lampu tidur. Minggu lalu saya sudah kongsikan teknik pemilihan mentol untuk lampu tidur dan jenis lampu tidur. Jadi pada minggu ini saya akan menyentuh pula pada sisi yang berbeza. Tahukah anda di mana seharusnya lampu tidur diletakkan? Cuba anda lihat di dalam bilik tidur di mana letaknya lampu tidur anda itu?

Sudah pastinya ada yang diletak di tepi pintu, di tepi tingkap atau di atas meja solek. Sebenarnya lampu tidur seelok-eloknya diletakkan dalam capaian tangan anda. Dalam erti kata lain, lampu tidur dengan posisi terbaik adalah berdekatan dengan katil atau tempat tidur. Ini penting supaya anda mudah menyala dan memadamkan lampu tidur tanpa perlu bangun atau berjalan. Ini bermakna kedudukan lampu tidur yang terbaik adalah selagi dapat dicapai suisnya dari tempat pembaringan anda.

Berbeza dengan lampu hiasan yang sering diletakkan pada bucu ruang atau di sudut supaya pantulan cahayanya menjadi berganda dan biasan cahayanya terpancar ke ruang yang lebih luas. Lampu tidur sebenarnya tidak perlukan semua itu. Apatah lagi lampu tidur juga satu pilihan khususnya bagi mereka yang tidak dapat tidur atau fobia pada kegelapan. Namun tahukah anda menurut kajian sains tidur di dalam kegelapan (tanpa adanya cahaya lampu) adalah tidur yang sangat menyihatkan dan disarankan?

PERLU tahu di mana lampu tidur harus diletakkan.
PERLU tahu di mana lampu tidur harus diletakkan.

Jadi jika anda hanya ingin ditemani lampu tidur sementara menunggu mata terlelap, dapatkan lampu tidur dengan jenis yang boleh disetkan masa. Anda boleh tentukan lampu tidur dipadam secara automatik pada masa yang tetap. Kecanggihan rekaan barangan dekorasi zaman kini membuatkan anda mempunyai lebih banyak pilihan.

Berbalik kepada mereka yang tetap ingin ditemani lampu tidur, pastikan anda memilih lampu tidur dari terendak berwarna gelap dan tebal. Ia bagi meminimumkan biasan cahaya yang akan dipantulkan sekali gus membuat lampu tidur malap dan tenang. Hindari terendak dari warna terang dan jarang kerana biasan cahaya yang terpantul lebih terang serta terik.

Lampu tidur juga datang dalam pelbagai koleksi dan tema yang boleh anda suai padan dengan sentuhan dekorasi bilik tidur. Jadi janganlah guna lampu tidur dari koleksi antik untuk bilik tidur dengan sentuhan moden minimalis, pilihlah yang bersesuaian dengan tema. Lampu tidur kini terdapat dalam pelbagai jenis sama ada daripada koleksi moden, antik, Asia, rustik dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 11:21 AM