Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Hironobu Yoshimura (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd, Sarly Adle Sarkum pada pelancaran Honda City Hatchback yang baharu. - FOTO NSTP/Aizuddin Saad
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Hironobu Yoshimura (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd, Sarly Adle Sarkum pada pelancaran Honda City Hatchback yang baharu. - FOTO NSTP/Aizuddin Saad
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan untuk model Honda City Hatchback Baharu 2024 yang dilancarkan hari ini untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Hironobu Yoshimura berkata, ia juga mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 21,500 unit kenderaan pada suku pertama tahun ini yang juga peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pencapaian positif ini adalah permulaan yang baik untuk Honda Malaysia.

"Bagi mengekalkan sasaran dan prestasi jualan, model Honda City Hatchback Baharu diperkenalkan dengan ciri terkini yang memenuhi sasaran pengguna.

"Sejak dilancarkan pada 2021, Honda City Hatchback menerima sambutan yang menggalakkan dengan terjual lebih 28,700 unit dan menjadi pendahulu untuk segmen model ini untuk jenama bukan nasional di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran model berkenaan hari ini.

Honda City Hatchback Baharu kini ditawarkan menerusi lima varian iaitu S, E. V, Petrol RS dan e:HEV RS yang ditawarkan pada harga RM85,900 hingga RM112,900 (atas jalan tanpa insurans).

Antara pembaharuan bahagian luaran yang ditawarkan pada model ini ialah gril hadapan 'honeycomb; gril bawah hadapan, kemasan lampu kabus LED dan kemasan bawah bampar belakang.

Ia juga dipadankan dengan rim aloi 16 inci Hitam Berlina baharu serta 'skirting' sisi baharu menambah gaya sporty untuk varian RS.

Ruang dalaman dengan ciri kemasan merah pada papan pemuka dan kerus kulit combi dengan jahitan merah dan varian RS dilengkapi dengan sistem audio bersaiz 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Untuk varian Petrol RS dan e:HEV RS ia kini lebih panjang dengan 4,369 milimeter (mm) dan S, E dan V dengan 4,350 mm.

Ia dikuasakan dengan enjin hibrid, 1.5L e:HEV dengan kuasa 109PS dan tork 253Nm yang tertinggi dalam kelasnya dan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menghemburkan kuasa 121PS dan tork 145Nm dan kedua-duanya didatangkan dengan gear tangan.

City Hatchback Baharu 2024 juga dengan ciri keselamatan terbaharu dengan Low Speed Follow (LSF) untuk e:HEV RS dan Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (LCDN) untuk semua varian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:46 PM