HONDA City Hatchback. FOTO arkib NSTP
HONDA City Hatchback. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Honda Malaysia menerima lebih 5,200 tempahan bagi model All-New City Hatchback yang buat pertama kalinya ditawarkan dalam model versi hatchback untuk rakyat negara ini selain dilengkapkan dengan teknologi e:HEV.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Madoka Chujo berkata syarikat itu yakin varian All-New City Hatchback RS e:HEV tersebut akan turut menetapkan penanda aras pasaran menerusi tawaran pakej lengkap luaran RS yang menarik, 'powertrain' atau rangkaian kuasa e:HEV, Honda SENSING serta telematik maju Honda CONNECT.

"Ini sudah pasti menjadi tarikan kepada pelanggan khususnya golongan muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Model All-New City Hatchback tersebut dilancarkan pada Disember 2021 dengan varian RS e:HEV itu disasarkan untuk ditawarkan pada awal 2022.

Chujo turut mengumumkan harga varian tersebut yang ditetapkan pada RM107,783.09 (harga atas jalan tanpa insurans) seunit.

Menurut pengeluar kereta itu, model terbaharu City berkenaan direka khusus sebagai 'Energetic Hatchback' manakala varian RS e:HEV menyuntik impak 'sporty' ke atasnya.

Kereta tersebut didatangkan dengan ciri-ciri seperti kilatan hitam Gloss Black di gril hadapan, cermin sisi dan pintu yang memberi paparan dua tona warna pada badannya.

All-New City Hatchback RS e:HEV juga dikuasakan oleh rangkaian kuasa Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) 1.5 liter berserta Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) yang didatangkan dengan tiga pilihan warna – Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 3:55 PM