BERNAMA

Kuala Lumpur: Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya hari ini mengumumkan tawaran suka rela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang belum dimiliki oleh Konsortium berkenaan, pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemegang saham Konsortium itu juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang, kata MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

*Harga Tawaran sebanyak RM11.00 ini mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion

*Sehingga 14 Mei, 2024, Konsortium dan syarikat induk masing-masing secara agregat memiliki 41.1 peratus saham MAHB yang diterbitkan

*Apabila Tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus

*Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB

*ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus saham

*Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia

*Saham MAHB dijangka dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia apabila tawaran itu selesai kelak, yang dijangka berlaku dalam suku keempat tahun ini.

*Konsortium juga mengesahkan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja berikutan daripada tawaran ini dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi

*Tiada perubahan akan dibuat ke atas kadar caj perkhidmatan penumpang yang diumumkan MAVCOM pada 12 Mac, 2024

Saham MAHB kali terakhir diniagakan pada RM10.40 sesaham.

Ketika ini MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLport (pendaratan dan pelepasan jarak pendek). Selain itu, kumpulan tersebut juga memiliki dan menguruskan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 8:18 PM