Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyelesaikan transaksi untuk mengambil alih baki 40 peratus kepentingan ekuiti dalam Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG), sekali gus syarikat Asia pertama memiliki 100 peratus kepentingan lapangan terbang di Eropah.

“Seperti diumumkan di Bursa Malaysia, cadangan pengambilalihan ini memperoleh kelulusan semua pihak berkepentingan di kedua-dua negara dan perjanjian pembelian saham dimeterai pada 31 Disember 2014,” kata kumpulan itu dalam kenyataannya di sini, semalam.

MAHB turut menerima kelulusan pemegang saham pada 23 Disember 2014 bagi membiayai pengambilalihan menerusi terbitan hak.

“Pengambilalihan ISG oleh MAHB adalah fasa menarik, bukan saja untuk pertumbuhan kumpulan khususnya, malah memain peranan dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki.

“Ia dijangka memberi banyak impak ke atas ekonomi Malaysia, menerusi eksport bakat tempatan selain peluang merentas jualan untuk produk lain Malaysia,” katanya.

MAHB berkata, pengambilalihan itu turut menunjukkan keyakinan kerajaan Turki dan orang ramai ke atas jenama Malaysia, selain bukti mengenai kemahiran dan kepakaran yang di miliki Malaysia dalam operasi dan pengurusan lapangan terbang.

Turki ialah negara keenam di dunia paling ramai dikunjungi, ekonomi pasaran membangun paling pesat dan Istanbul adalah antara 10 lapangan terbang bandar raya paling pesat di dunia.

-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:01 AM