TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dibawa meninjau persekitaran ISG yang dimiliki MAHB. FOTO BERNAMA
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dibawa meninjau persekitaran ISG yang dimiliki MAHB. FOTO BERNAMA
Kadir Dikoh
am@hmetro.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad, hari ini, melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul, dalam siri lawatan empat harinya ke Turki.

Ia adalah lapangan kedua terbesar Turki dan milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sepenuhnya.

Sebaik tiba dari Ankara, Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendengar taklimat mengenai operasi ISG yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Perdana Menteri kemudian dibawa melawat sekitar dalaman lapangan terbang itu.

Raja Azmi berkata, SIG mengendalikan 41 juta penumpang setahun dan berupaya meningkat kepada 60 juta apabila landasan baru siap.

Katanya, Malaysia melalui MAHB adalah satu-satunya negara ASEAN memiliki lapangan terbang di Eropah.

“SIG mengendalikan 53 syarikat penerbangan ke 131 destinasi antarabangsa dan 41 domestik,” katanya dalam taklimat ringkas.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamed Sabu; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Turut hadir duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

MAHB adalah sebahagian konsortium yang berjaya memperoleh kontrak 1.9 bilion euro untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada 2007.

Pada 2013, ia meningkatkan pegangan kepada 60 peratus dengan membeli 40 peratus ekuiti yang dipegang syarikat dari India, GMR Infrastructure Ltd bernilai 225 juta euro dan sejak 2015 memiliki sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:04 PM